NILAI, 12 Ogos 2022 – Seramai 770 orang pelajar baharu Program Tamhidi Sesi Akademik 2022/2023 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendaftar secara fizikal mulai 9 Ogos 2022 diikuti program minggu taaruf yang tamat pada hari ini.
Sebanyak empat (4) Program Tamhidi yang ditawarkan di USIM iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi dan Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains. Pelajar baharu Program Tamhidi akan menjalani Taaruf secara hidrid bermula 9 hingga 13 Ogos 2022. Antara pengisian Taaruf Tamhidi pada kali ini adalah Lonjakan Kuantum, Lafaz Ikrar dan Jejak Kampus Lestari.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Taaruf berkata, USIM amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar baharu Program Tamhidi di USIM kerana kemasukan kali ini adalah pertama kalinya berlaku secara fizikal setelah dua (2) tahun negara berada dalam pandemik COVID-19“. USIM menghargai dan mengalu-alukan kehadiran para pelajar dalam usaha mencari dan menuntut ilmu untuk manfaat diri, agama dan bangsa.” katanya.
USIM juga berbesar hati menerima kehadiran seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran, Muhammad Ameir Ghaziuddin Marhalim dari Hulu Langat Selangor yang mengambil program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang. Beliau sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih untuk menyambung pengajian matrikulasi di USIM.
Anak bongsu daripada dua beradik ini sangat meminati subjek Syariah ketika berada di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor dan bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai syariah suatu hari nanti.
“Saya seronok dengan suasana di kampus USIM lebih-lebih lagi saya telah menetap di sini 5 tahun ketika menjadi pelajar Kolej Genius Insan USIM lagi. Saya memilih USIM sebagai pilihan pertama kerana ingin meneruskan pengajian yang berasaskan Islam di sini. Pengajian di sini amat menitikberatkan integrasi antara ilmu wahyu dan rasional”, ujar Muhamad Safwan Khairudin yang sambung pengajian Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains.
Manakala, Huda Izzati Husni yang berasal dari Johor Bahru melahirkan rasa gembira dan syukur kerana terpilih untuk menyambung pengajian dalam bidang syariah. Atas sokongan ibu bapa dan keluarga saya memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat Tamhidi di USIM kerana ingin memastikan pembelajaran al-quran saya tidak terhenti begitu sahaja. Di USIM saya dapat meneruskan pengajian al-quran 30 juzuk yang dipelajari ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya.
Turut hadir Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Tamhidi Sesi Akademik 2022/2023 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor adalah Prof. Ts Dr. Sharifuddin Md Shaarani Naib Canselor, dan Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan