OSAKA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui pusat tanggungjawab, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) meneroka peluang jaringan industri yang lebih besar melalui lawatan seramai tujuh orang delegasi USIM ke Osaka pada 23 Ogos lalu.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Pengarah PLiMJI mengetuai mesyuarat delegasi bersama ahli akademia dari Universiti Doshisha bagi membincangkan bidang kolaborasi termasuk dalam latihan industri, pertukaran pelajar, kursus jangka pendek, pensyarah pelawat dan program pertukaran budaya.
Universiti Doshisha baru-baru ini telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Kemanusiaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghargai sumbangan beliau dalam menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang serta dedikasi kepada pendidikan.
Selain daripada itu, terdapat permintaan dari masyarakat Muslim Jepun untuk mendapatkan pendidikan Islam dengan lebih mendalam.
“Lawatan ini meneliti dengan lebih mendalam, peluang kepada PliMJI untuk menerokai aspek-aspek libatsama masyarakat dan jaringan industri yang boleh dilakukan bersama-sama rangkaian universiti dan badan bukan kerajaan di Osaka, Kyoto dan Tokyo Jepun dan menjadi PTJ yang pertama di Malaysia yang mengadakan kerjasama seumpama itu,” ujar Prof Madya Rafidah Hanim.
Tambahnya, program ini juga akan melihat prosedur dan amalan terbaik NGO Islam di Jepun khususnya YDKMM dalam menguruskan agenda dakwah mereka dengan masyarakat Jepun yang terkenal dengan disiplin diri yang sangat tinggi.
Inisiatif untuk menyantuni muallaf masyarakat Jepun mendorong PLiMJI mengorak langkah memulakan perancangan bersama Encik Zulkarnain Hasan Basri selaku Pengerusi YDKMM Jepun merangkap Pengarah Urusan Nippon Muslim Corporation dan presiden Japan Muslim Foundation.
Beliau bergiat aktif dalam aktiviti membantu masyarat Jepun mendalami agama Islam dan membantu mereka menjadi Muslim yang sebenar.
Menurut Osaka Islamic Centre, terdapat keperluan yang amat tinggi untuk muallaf Jepun ini dibantu kerana mereka sangat memerlukan bantuan dari aspek-aspek pembelajaran rasmi tentang agama Islam. Ini adalah kerana di Jepun, amatlah sukar untuk mereka belajar tentang agama Islam secara tersusun atau teratur, malah jika ada sekalipun, ianya diajar oleh orang bukan Islam. Ini menyebabkan ada sebilangan muallaf menjadi murtad selepas memeluk agama Islam kerana kurang bimbangan tentang agama.
Lawatan turut diadakan ke Chiba Islamic Cultural Centre (CICC) yang diterajui Hajj Kyoichiro Sugimoto. Peranan CICC menyantuni komuniti setempat dan dalam masa yang sama menjana konsep perniagaan adalah sesuatu yang boleh dipelajari oleh pelajar USIM dalam kedua-dua Libatsama Masyarakat dan Latihan Industri.
Sehubungan itu, misi libatsama PLiMJI dirangka untuk membantu muallaf Jepun dengan membawa wakil-wakil fakulti yang berkaitan untuk bersama-sama memahami keperluan muallaf dan melihat apakah bentuk-bentuk kerjasama yang boleh dijalankan oleh USIM dan PLiMJI amnya dan fakulti-fakulti yang menawarkan kursus dakwah khususnya.
Delegasi USIM juga bertemu dengan Puan Hind Hitomi Remon, Pengerusi Japan Halal Association. Hasil perbincangan yang disepakati termasuk latihan industri pelajar, ‘syariah auditor’, kolaborasi persidangan, penyelidikan bersama di bidang sains sosial, kajian fiqh Muslim minoriti dan program pertukaran staf (dengan keperluan pembelajaran bahasa Jepun selama 1 semester).
Di USIM, PLiMJI memainkan berperanan merancang serta melaksanakan program-program libatsama masyararakat serta hubungan industri dalam kalangan mahasiswa serta staf USIM secara berstruktur dengan komuniti masyarakat.
Delegasi dari USIM adalah Dr Hanim Misbah, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM); Dr Syadiyah Abdul Shukor, Timbalan Dekan FEM; Dr Nur Kareelawati Abd Kareem, Timbalan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP); Dr Norhaziah Nawai, Ketua Program di FEM; Dr Suhailiza Md Hamdani, Ketua Program di FKP dan Puan Marsita Md Nor, Penolong Pendaftar Kanan di PLiMJI.
Disediakan oleh :
Pusat Libatsama Masyarakat & Jaringan Industri USIM
Dikemaskini oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan