NILAI,30 Mac 2019  ­–  Majlis Anugerah Tokoh Siswa peringkat Kebangsaan 2018 berlangsung gilang gemilang bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam perlibatan ketokohan dan penganjuran program-program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Anugerah yang berpresetij ini turut dipersembahkan dengan seni adat Negeri Sembilan iaitu tarian piring bersama barisan pemuzik dari Kumpulan Perkusi yang dibarisi oleh enam orang pelajar dan dihiasi dengan alunan koir dari Kumpulan Vokal Essemble oleh Pusat Kebudayaan USIM.

USIM juga turut memperkenalkan persembahan Nasyid Tanpa Suara dari Kumpulan SaF al-Isharah oleh Sekretariat Sahabat FAQEH USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak İstimewa. Kumpulan ini menyampaikan persembahan dan mesej dakwah kepada komuniti Pekak melalui Bahasa İsyarat Malaysia, ekspresi muka dan bahasa tubuh.

Sementara itu, YB Dr Mazlee dalam ucapan beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah dengan persembahan Kebudayaan yang ditonjolkan oleh USIM, membuktikan selain di medan pendidikan USIM seiring dengan pementasan kebudayaan yang mempersembahkan kehalusan seni budaya adat di Negeri Sembilan.

Menurut Encik Nasrul Hakim Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana ATS bagi pihak USIM berkata, jutaan terima kasih atas peluang yang diberi kepada USIM dipilih sebagai tuan pada kali ini di mana penganjurannya yang menuntut komitmen jitu Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan USIM itu menyaksikan penglibatan optimum siswa USIM dalam segenap aspek dari perancangan dan pelaksanaannya sehinggalah selesai majlis selain menonjolkan warisan budaya Negeri Sembilan yang unik. Penglibatan optimum siswa USIM bukan sekadar penghias majlis tetapi turut sama merancang dan menyumbang idea serta berpeluang pula merealisasikan idea mereka.

”Warisan budaya Negeri Sembilan pula dapat dijejaki seawal video promosi yang menampilkan dialek dan lagu Negeri Sembilan selain trofi pemenang yang diinspirasikan dari rekabentuk rumah minangkabau dan sajian makan malam yang menghidangkan daging salai masak lemak cili apa dan apam Johol”.

”Selain itu, persembahan yang ditampilkan cukup menggamit memori terhadap keindahan dan kehalusan budaya masyarakat Negeri Sembilan. Persembahan turut menyentuh sanubari tetamu dan jemputan apabila menampilkan nasyid tanpa suara yang yang kesemuanya dipersembahkan oleh siswa USIM sendiri. Rata rata tetamu dan jemputan yang hadir ke Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 memuji penganjurannya yang teratur, lancar dan menghiburkan”.

Pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa ini, USIM tidak pulang tangan kosong apabila turut membawa pulang dua Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi bagi kategori berpasukan dan individu. Manakala bagi Berpasukan diterima oleh pasukan debat Bahasa Arab USIM atas kejayaan memenangi tempat kedua dalam Second UNISI Arabic Debating Championship dan tempat pertama Debat Bahasa Arab, Festival Jazirah Arab. Bagi kategori individu pula, Muhammad Syafiq Suhaimi menerima anugerah ini atas kejayaan beliau selaku johan Pidato Dwibahasa Ihtifal Asean.

Turut hadir YB Puan Teo Nie Ching, Timb. Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik), YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, Pengurusan Universiti serta mahasiswa dari Universiti Awam.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032