NILAI, 30 Mac 2019 – Majlis Anugerah Tokoh Siswa peringkat Kebangsaan 2018 berlangsung gilang gemilang bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam perlibatan ketokohan dan penganjuran program-program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Anugerah yang berpresetij ini dihadiri jemputan dari wakil pelajar Institut Pengajian Tinggi telah dipersembahkan dengan persembahan kesenian dan adat tradisi Negeri Sembilan iaitu tarian piring bersama barisan pemuzik dari Kumpulan Caklempong dan Kumpulan Perkusi serta diiringi dengan alunan koir dari Kumpulan Vokal Essemble oleh Pusat Kebudayaan USIM.
Kumpulan Caklempong USIM merupakan salah satu niche area Pusat Kebudayaan USIM selain beberapa kumpulan muzik yang lain seperti Kumpulan Perkusi dan Bachelors. Kumpulan Caklempong ini juga merupakan kumpulan muzik yang turut menghiasi Majlis Adat Istiadat Konvokesyen USIM, serta turut aktif mendapat jemputan luar bagi majlis majlis keraian. Pusat Kebudayaan USIM pernah memenangi Johan pertandingan Rentak Bitara Terbuka Universiti Awam Malaysia 2018 atas keunikan tersendiri menggabung jalin lagu moden dengan irama muzik Caklempong dan anugerah Gong Kencana di malam Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) yang berlangsung di UPSI, selain turut serta program antarabangsa iaitu program silang budaya di Indonesia.
Tidak ketinggalan, USIM juga turut memperkenalkan persembahan Nasyid Tanpa Suara dari Kumpulan SaF al-Isharah oleh Sekretariat Sahabat FAQEH USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak İstimewa. Kumpulan ini menyampaikan persembahan dan mesej dakwah kepada komuniti Pekak melalui Bahasa İsyarat Malaysia, melalui ekspresi muka dan bahasa tubuh. Kumpulan ini merupakan niche area Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) dan aktif dalam menyertai persembahan program OKU Berdoa anjuran USIM.
Pada majlis tersebut, YB Dr Mazlee dalam ucapan beliau mengucapkan syabas dan tahniah kerana USIM tidak ketinggalan dalam menangkat nilai dan seni budaya Negeri Sembilan melalui persembahan pada malam itu.
“Saya tertarik dengan kemeriahan persembahan yang ditunjukkan di mana ia membuktikan selain cemerlang dalam pendidikan, dari sisi lainnya USIM juga mampu terkehadapan dalam menampilkan kreativiti kesenian oleh pelajarnya,” ucapnya.
Menurut Encik Nasrul Hakim Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana ATS 2018, beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas peluang yang diberi kepada USIM kerana dipilih sebagai tuan pada kali ini.
“Penganjuran acara yang besar ini menuntut komitmen jitu daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan USIM menyaksikan penglibatan optimum siswa USIM dalam segenap aspek dari perancangan dan pelaksanaannya sehinggalah selesai majlis selain menonjolkan warisan budaya Negeri Sembilan yang unik. Penglibatan mahasiswa bukan sekadar penghias majlis tetapi turut sama merancang dan menyumbang idea serta berpeluang pula merealisasikan idea mereka,” ujarnya.
“Bagi menjayakan tema penganjuran tahun ini, USIM mengambil tanggungjawab mengetengahkan warisan budaya Negeri Sembilan. Antaranya melalui penyediaan video promosi ATS 2018 yang menampilkan dialek dan lagu Negeri Sembilan selain reka bentuk trofi pemenang diinspirasikan dari konsep rumah minangkabau manakala menu sajian makan malam dengan hidangan daging salai masak lemak cili dan apam Johol melengkapkan keunikan yang ada di Negeri Sembilan”.
“Selain itu, persembahan yang ditampilkan cukup menggamit memori terhadap keindahan dan kehalusan budaya masyarakat Negeri Sembilan. Persembahan turut menyentuh sanubari tetamu dan jemputan apabila menampilkan nasyid tanpa suara yang yang kesemuanya dipersembahkan oleh siswa USIM sendiri. Rata rata tetamu dan jemputan yang hadir ke majlis ATS 2018 memuji penganjurannya yang teratur, lancar dan menghiburkan,” tambahnya lagi.
Mewakili Bahagian Pembangunan Mahasiswa, JPT, Dr Zaid Omar berkata, ATS 2018 di USIM telah berjaya dilaksanakan dengan penuh gemilang.
“Susunan montaj, gimik dan hiasan dewan menepati dan bersesuaian dengan tema kasik warisan Negeri Sembilan. Selain itu, tema klasik dan tradisional ini dapat mengangkat martabat tradisional Negeri Sembilan serta mengembalikan nostalgia zaman dahulu,” ucapnya.
Acara penuh gemilang ini turut memberi kegembiraan buat USIM apabila menerima dua Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi bagi kategori berpasukan dan individu. Bagi anugerah berpasukan diterima oleh pasukan debat Bahasa Arab USIM atas kejayaan memenangi tempat kedua dalam Second UNISI Arabic Debating Championship dan tempat pertama Debat Bahasa Arab, Festival Jazirah Arab manakala bagi kategori individu pula diberkan kepada Muhammad Syafiq Suhaimi atas kejayaan beliau selaku johan Pidato Dwibahasa Ihtifal Asean.
Majlis yang berlangsung gemilang turut dihadiri oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timb. Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik), YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, Pengurusan Universiti serta mahasiswa dari Universiti Awam.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032