NILAI, 21 JUN 2016 – The National Science Challenge (NSC) merupakan pertandingan yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan ExxonMobil Subsidiaries in Malaysia. Pertandingan kuiz sains kebangsaan ini terbuka kepada pelajar tingkatan empat aliran Sains seluruh Malaysia.

Bagi peringkat Negeri Sembilan ia telah diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi saringan peringkat final untuk dipilih bertanding ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Ogos 2016 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Di Negeri Sembilan sebanyak 30 buah sekolah yang bertanding , namun hanya  5 sekolah yang dipilih ke peringkat saringan final iaitu MRSM Gemencheh, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, SMK King George  V, SMK  Puteri dan SMK St. Paul.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Prof. Dr. Norita Md Norwawi berkata, kerjasama seperti ini amat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja menjalin kerjasama dengan pihak penganjur malah memberi peluang dan semangat kepada pelajar-pelajar untuk mendekati USIM dan melihat suasana kampus yang akan ditempuhi mereka kelak. Ketua juri juga didatangkan dari pensyarah USIM dari Fakulti Sains dan Teknologi sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Che Wan Zanariah Che Wan Ngah.

Pertandingan ini bermula dengan peringkat saringan (Preliminary level) pada 18 April 2016 secara atas talian, dan peringkat separuh akhir (Semi Final) dan Akhir (Grand Final). Penyertaan adalah berkumpulan iaitu tiga orang peserta dan seorang guru mentor, di mana setiap kumpulan akan bermula dengan kuiz atas talian pada peringkat preliminary dan kemudian ke peringkat Semi Final dan akhirnya Grand Final akan menemukan empat pasukan terbaik.

Menurut salah seorang peserta dari MRSM Gemencheh, Muhammad Safwan Bin Mohd Saparina,16, pertandingan ini sangat menguji minda, masa dan kreativiti kerana ia melibatkan soalan Sains dan Matematik tingkatan empat dan lima. Setiap kumpulan perlu menjawab soalan tanpa menggunakan bahan bantuan seperti kalkulator.

“Kami tidak sangka dipilih untuk saringan ke final kerana soalan-soalan yang mencabar minda dan kami perlu catch up subjek tingkatan lima juga”.

“Sejak dari tingkatan dua cikgu telah membawa kami untuk melihat pertandingan NSC ini berlangsung dan secara tidak langsung ia memberi inspirasi dan semangat untuk sertainya suatu hari nanti”, tambah Safwan.

Juara yang mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan adalah dimenangi oleh SMK Puteri Seremban. Majlis Perasmian penutup dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang mat Dahan. Turut hadir sama Prof. Dr. Yang Farina Abdul Aziz, Pengerusi NSC DAN Encik Mohd Zain Abu wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204