NILAI, 31 Mac 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar buat Kali Kelima menganjurkan Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2017 dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) bertemakan Wasatiyyah Asas Transformasi Belia.  USIM menerima penyertaan lebih dari 700 mahasiswa melibatkan IPT ASEAN antaranya Thailand, Singapura dan Indonesia.

Penganjuran sebagai acara tahunan berlangsung selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April menggabungkan lima acara utama berbanding tahun lalu hanya 4 acara. Antaranya adalah Pertandingan Debat Bahasa Arab, Tilawah Al-Quran, Nasyid, Seminar Tadabbur Al-Quran dan acara terbaru iaitu Pidato Dwibahasa (Bahasa Arab dan Bahasa Melayu) dengan tawaran hadiah utama berbentuk wang tunai.

Objektif penganjuran pada kali ini adalah menonjolkan keunikan ilmu Islam yang boleh disampaikan dalam pelbagai kaedah dakwah. Himpunan golongan belia Islam serantau dapat bersama-sama berkongsi buah fikiran dna menajamkan bakat berhujah serta memperluaskan jaringan ukhwah seluruh rantau ASEAN.

“Penyertaan yang diterima tahun ini meningkat berbanding penganjuran tahun lalu yang mana Brunei juga menghantar penyertaan. Ia  dilihat sambutan amat baik diberikan oleh peserta  IPT ASEAN dan diharapkan agar para peserta dapat memberi persembahan terbaik. Ini adalah kerana Ihtifal ASEAN ini merupakan platform untuk mengenengahkan bakat-bakat mahasiswa selain menyatukan seluruh mahasiswa di universiti serantau,” ujar Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM, En Nasrul Hakim Ahmad.

Antara program lain iaitu Seminar Tadabbur Al-Quran yang dijalankan pada 2 April,  menghimpunkan panel penceramah dari kalangan tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM antaranya Dr. Muhammad Lukman bin Ibrahim, Dr Mahsor Yahya; Timbalan Pengarah Pusat Islam, Dr Noornajihan Ja’afar dan Mufti Wilayah Persekutuan SS Datuk Dr Mohamad Al-Bakri. Antara tajuk-tajuk yang akan dibincangkan merangkumi Gagasan Al-Quran terhadap Khairul Ummah, Tadabbur Ayat Wasatiyyah dalam Al-Quran, Tadabbur Al-Quran melalui Seni Tajwid dan Model Wasatiyyah dalam Kalangan Sahabat.

Penganjurannya menyaksikan lebih 25 buah universiti serantau yang menghantar penyertaan antaranya dari Malaysia antaranya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin. Dari Indonesia seperti Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ), Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Universitas Muhammadiyah Malang Indonesia (UMM), Universitas Islam Bandung (UNISBA), UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, Universitas Darussalam Gontor, Universitas Al Azhar Indonesia, Universitas Islam Indonesia, Universitas Islam Nusantara (UNINUS) manakala Brunei adalah Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204