NILAI, 10 OGOS 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluas jalinan kerjasama strategik bersama Universitas Islam Indonesia (UII)  melalui satu majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di Lounge Eksekutif, Bangunan Canselori USIM pada 10 Ogos 2015.

Universitas Islam Indonesia (UII)  adalah sebuah universiti persendirian yang terletak di Yogjakarta, Indonesia ditubuhkan pada 8 Julai 1945 sebagai Sekolah Tinggi Islam (STI) seterusnya berkembang menjadi universiti yang dikenali sebagai Universiti Islam Indonesia pada 14 Disember 1947.

Melalui perjanjian ini, seramai enam orang pelajar dari Sarjana Muda Pemasaran (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian akan mengikuti pengajian di Fakultas Ekonomi, UII selama 1 semester bermula September 2015 ini melalui Program Pemindahan Kredit. Pelajar ini akan mengikuti tujuh (7) kursus yang telah disetarakan seperti yang telah dipersetujui di antara FEM, USIM dengan UII berjumlah 21 jam kredit.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad kerjasama ini merupakan hasil dari perbincangan antara Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM dengan Universitas Islam Indonesia (UII) sejak akhir tahun lalu dan beberapa mesyuarat serta aktiviti susulan yang telah dijalankan sejak Februari 2014 lagi.

“Sebelum ini pada tahun 2011 USIM-UII telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) khususnya untuk program mobiliti pelajar di mana ketika itu yang menandatangani MoU tersebut adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda, Mantan Naib Canselor ke-2 USIM dan mantan Rektor UII iaitu YBhg Prof. Dr. Edy Suandi Hamid. Justeru, diharap dengan MoA yang ditandatangani pada hari ini mampu dimanfaatkan khususnya di dalam bidang kewangan Islam.

USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin dan UII diwakili oleh Dr. Ir. Harsoyo Rektor UII dan Dekan Fakultas Ekonomi UII Dr. D. Agus Harjito.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204