NILAI, 14 Mei 2014 – Dalam meneruskan bidang kerjasama dalam pendidikan berteraskan ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional), satu Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universitas Muhammadiyah Surabaya (UMSurabaya) telah diadakan di Galeri USIM pagi ini.

Universitas Muhammadiyah Surabaya (UMSurabaya) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan di bawah Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia yang mempunyai visi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang intelektual, moral dan keusahawanan.

Memorandum Persefahaman ini mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara USIM dan UMSurabaya dalam bidang akademik. Antara program bersama yang akan dilaksanakan adalah pgrogram akademik, projek-projek penyelidikan dan pembangunan, program bengkel dan latihan dan program inbound dan outbound dikalangan staf dan pelajar.

Sejurus Majlis MoU ini, satu bengkel penjajaran yang melibatkan tiga (3) fakulti adalah Fakulti Pengajian Bahasa Utama bagi program Pendidikan Islam, Fakulti Sains dan Teknologi bagi program Bioteknologi Makanan dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan bagi program Da’wah dan Pengurusan Islam akan dijalankan.

YBhg. Prof Dato’ Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM berkata, USIM sentiasa komited dalam mengembang dan memasarkan program  pengajian yang ditawarkan kepada institusi luar yang berminat, malah USIM juga akan meneruskan usaha dalam memperkukuh dan mengangkat reputasinya sebagai pelopor kepada pengajian dan penyelidikan berasaskan Sains Islam dan menjadi tunjang kepada garapan Naqli dan Aqli. “Diharap dengan kerjasama ini kedua-dua pihak bersama-sama menerokai ruang di dalam aspek penyelidikan, modal insan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu”, jelas beliau.

Sementara YBhg Dr. Sukadiano Rektor UMSurabaya berkata, UMSurabaya merupakan pelopor pendidikan tinggi di Indonesia yang menyanjung pendidikan Islam. Justeru, harapan untuk sama-sama menjadi pelopor pendidikan Islam yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli sangat di pandang tinggi oleh delegasi yang hadir pada majlis menandatangani yang terdiri dari wakil dekan perubatan dan kesihatan, teknologi dan pendidikan Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad dan Encik Mohammad Haizuan Rozali, pendaftar USIM.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm