Kuala Lumpur, 23 Februari 2011 – Setelah 3 tahun Program Festival Cipta Lagu Patriotik ( CIPTA ) diadakan bermula pada tahun 2008, 2009 dan terbaru pada tahun 2010, hasil karya seni muzik ini akhirnya diabadikan dengan penerbitan sebuah Album Cipta Lagu-Lagu Inovasi Karya Seni dan seterusnya menjadikan Universiti Sains Islam Malaysia universiti pertama seumpamanya yang menghasilkan album lagu berjiwa patriotik.

Melalui kolabrasi diantara pelajar USIM dan penghuni penjara di dalam penghasilan inovasi karya seni sebegini, ianya dapat mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi dikalangan mahasiswa dan boleh mencetuskan fenomena yang sihat untuk memacu ke arah peningkatan sahsiah dan kemahiran insaniah yang tinggi nilainya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Hou Kok Chung berkata kolaborasi antara mahasiswa dan penghuni penjara dalam menghasilkan album ini amat dibanggakan dan wajar mendapat perhatian umum.

Kata beliau “Program CIPTA berupaya mendekatkan mahasiswa dengan segolongan masyarakat yang telah tersasar daripada kehidupan mereka dan mahasiswa juga perlu menjadi contoh dan teladan terbaik kepada penghuni penjara yang memerlukan sokongan dan dorongan untuk kembali ke pangkal jalan”

Tambah beliau lagi “Melalui penglibatan mahasiswa di dalam aktiviti-aktivi sebegini, ianya membuktikan bahawa mahasiswa datang ke universiti bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi juga dapat menyumbangkan sesuatu yang baik kepada masyarakat dan juga meningkatkan kemahiran insaniah dikalangan mahasiswa itu sendiri.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Album CIPTA di Istana Budaya di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor  Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Dalam pada itu, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Jabatan Penjara Malaysia sentiasa terbuka dalam mempelbagaikan kaedah pemulihan termasuklah membuka pintu penjara kepada masyarakat dan organisasi untuk turut sama membantu mereka.

Beliau turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan USIM kerana menggalakkan mahasiswa melakukan khidmat sosial.

Sebanyak enam lagu terbaik ciptaan mahasiswa dan penghuni penjara daripada pertandingan CIPTA 2008 hingga 2010 telah disatukan di bawah album CIPTA – Inovasi Karya Seni yang melibatkan barisan artis dan komposer tanah air seperti Adibah Noor, Siso, Andy Flop Poppy, Roy, Fauzi Marzuki dan juga Pelajar USIM sendiri.

Album tersebut dijual pada harga RM16.90 dan bagi yang berminat  boleh mendapatkanya di USIM dan di Jabatan Penjara Malaysia.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027