INDONESIA – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universitas Negeri Padang (UNP) telah dilaksanakan semalam, 21 Februari 2024 bertempat di UNP, Indonesia.
Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) USIM telah diamanahkan mewakili pengurusan universiti bagi menjayakan MoU ini berikutan program latihan untuk staf dan pelajar UNP telah dirancang awal sempena Program Pengantarabangsaan AKRAB Go Asean@Padang, Indonesia pada 19 hingga 24 Februari 2024.
Rektor UNP, Profesor Dr. Ganefri menandatangani dokumen MoU yang telah ditandatangani lebih awal oleh Naib Canselor USIM.
Dalam ucapan aluan oleh Rektor UNP, beliau berharap dengan pemeteraian MoU ini akan menjalinkan lebih banyak kerjasama antara UNP dan USIM khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan serta latihan staf dan pelajar.
Profesor Dr. Ganefri juga turut mencadangkan satu penyelidikan bersama USIM tentang Sejarah Sumatera Barat dan Negeri Sembilan mengambil kira susur galur penduduk Negeri Sembilan datangnya dari Bukit Tinggi, Paya Kumbuh, Minangkabau dan Padang, Sumatera Barat.
Semoga dengan hubungan strategik ini dapat menjalin kerjasama baik dalam semua aspek pengurusan untuk staf dan pelajar kedua-dua universiti.