NILAI, 13 Mac 2014 – Warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunaikan Solat Sunat Istisqa’ di Dataran Canselori USIM yang bermula pada jam 8.30 pagi. Istisqa’ yang bermaksud siraman air adalah solat sunat yang ditunaikan secara khusus sebagai salah-satu ikhtiar memohon turunnya hujan.

Musim kemarau berpanjangan yang melanda negara sejak bulan lalu dan dijangka berterusan sehingga penghujung April menyebabkan suhu panas/kering yang agak tinggi berlaku dan keadaan ini turut menjejaskan kualiti udara beberapa kawasan termasuk Nilai yang dilanda jerebu. Beberapa siri kebakaran yang berlaku di sekitar Nilai turut menyumbang kepada kualiti udara tidak sihat dan menjejaskan kesihatan apabila kerap terdedah dengan aktiviti luar dalam jangka masa yang lama.

Solat sunat Istisqa’ ini anjuran Pusat Islam USIM dengan kerjasama persatuan dan kelab pelajar mendapat penglibatan yang baik daripada kakitangan dan para pelajar USIM. Turut bersama menunaikan solat sunat yang diimamkan oleh Dr Salah Mohamad Zaki Mohamad Ibrahim, Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) ini adalah Pengurusan Universiti, antaranya Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Warga USIM turut mengambil kesempatan dan berkongsi keprihatinan bersama rakyat Malaysia dan dunia dengan turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anak kapal dan para penumpang pesawat MH370 milik MAS yang hilang pada Sabtu lalu dan masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Dalam doa yang dibacakan oleh Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Pengarah Pusat Islam USIM, warga USIM turut mendoakan diberi ketabahan dan kesabaran kepada ahli keluarga dan waris MH370 dalam menghadapi dugaan ini serta dipermudahkan segala urusan mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan secara bersepadu oleh pelbagai agensi dan negara bagi mengesan pesawat ini.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm.