NILAI — Program Connect & Inspire: Kelab UNESCO USIM Sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya melibatkan penyertaan kira-kira 57 orang ahli Kelab UNESCO Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri daripada barisan kepimpinan serta ahli aktif kelab. Program ini diadakan secara bersemuka di Padang B, Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM pada 14 Disember 2025 dengan mengangkat elemen tradisional sebagai teras utama pelaksanaan aktiviti.
Penganjuran program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli, di samping memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan melalui penglibatan dalam aktiviti kesukanan berkonsepkan permainan tradisional. Para peserta telah dibahagikan kepada lapan kumpulan dan menyertai tujuh permainan berpasukan, antaranya lari dalam kain batik dan pelikat, taji ayam, golek buah kelapa, baling belon air ke belakang, kain batik belon air, bola tampar belon air serta permainan mengisi air ke dalam botol menggunakan span.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan aktiviti pemanasan badan sebelum diteruskan dengan taklimat permainan oleh Jawatankuasa Pengisian. Keseluruhan pelaksanaan aktiviti berlangsung lancar dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta.
Kehadiran Penasihat Kelab UNESCO USIM, Prof. Madya Ts. Dr. Sakinah Ali Pitchay, yang turut turun padang menyantuni para peserta telah memberikan suntikan motivasi dan sokongan moral sepanjang program berlangsung. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa “networking is not just about connecting people; it is about connecting people with ideas, and people with opportunities,” sebagai galakan kepada ahli kelab untuk membina jaringan yang bermakna dan berimpak.
Secara keseluruhan, Connect & Inspire berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberikan pengalaman yang bermakna kepada para peserta, di samping memperkukuh nilai kerjasama, disiplin serta apresiasi terhadap warisan tradisi, selaras dengan aspirasi Kelab UNESCO USIM.
Oleh: Nur Auni Solehah Zaharuddin


