NILAI- 12 Februari 2020 – Mahasiswa harini berpeluang merebut sebanyak mungkin peluang untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi demi mencipta masa depan lebih gemilang. Begitu juga bagi pekerja sektor awam dan swasta tidak asing lagi dalam kalangan mereka yang bekerja sambil belajar untuk memenuhi matlamat dan impian dalam menaikkan taraf pendidikan mereka.

Bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), terdapat pelbagai program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Baru-baru ini, USIM telah menerima sebanyak 38 orang yang mendaftar masuk untuk program Sarjana dan 14 orang di peringkat PhD. Daripada jumlah tersebut, 12 darinya adalah dari negara Libya, Yaman, Indonesia dan Palestin.

Bagi Wan Nuraini Wan Rosdi, 25, Sarjana Syariah, hasrat beliau adalah bercita-cita untuk sambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah untuk menjadi seorang pensyarah berjaya. Selesa dengan suasana dan pensyarah di USIM membuatkan beliau memilih USIM untuk menyambung pengajian di sini.

Manakala bagi Amanee Abdul Hai, 33, berasal dari Senawang, beliau menamatkan kerjaya sebagai Guru Bahasa di UiTM Rembau untuk menyambung pengajian sepenuh masa di USIM dalam Sarjana Bahasa Arab Komunikasi. Amat tertarik dengan pembelajaran yang digunakan di USIM dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dan berharap untuk memperkasakan kemahiran Bahasa Arab beliau ke peringkat lebih tinggi.

”Mendapat galakkan dan sokongan dari pensyarah di Kolej Genius Insan, selain suasana dan fasiliti yang selesa antara yang menarik minat saya untuk sambung pengajian di USIM”, berkata Sri Vani A/P Sellathoroe.  Beliau berasal dari Seremban, sambung pengajian dalam Sarjana Sains, sekarang merupakan Pembantu Penyelidik kepada salah seorang pensyarah di USIM.

”Saya suka dengan sesuatu yang baharu dan mencabar oleh kerana itu saya memilih USIM kerana makmal dan  instrumen baru yang terdapat di USIM. Saya berharap dapat menghabiskan pengajian Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dgn cemerlang untuk berkhidmat kepada masyarakat”, Nurul Hana Binti Mas’od.

Turut mendaftar pada hari tersebut 55 pelajar baharu Sarjana Muda ambilan USIM yang dibuka pada bulan Februari bagi kategori STAM/STPM/ Matrikulasi dan Dilpoma yang tidak melalui permohonan di UPU.

 

 

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan