Dalam buku “The Development of New Vaccines”, Gordon L. Ada (1994) berkata bahawa antibodi membawa maksud daya pertahanan dan satu-satunya mekanisme yang mana boleh menghalang suntikan digunakan untuk tujuan melawan agen. Vaksin yang efektif boleh membuatkan kebolehdaya tahan antibodi dalam badan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) mendefinisikan “imunisasi” sebagai proses di mana seseorang itu dijadikan imun (kebal) atau tahan penyakit berjangkit, biasanya melalui pengambilan vaksin. Vaksin merangsang sistem imun badan sendiri untuk melindungi seseorang itu daripada jangkitan berikutnya atau sebarang jenis penyakit (http://www.who.int/topics/immunization/en/).
Satu istilah yang sama dengan imunisasi ialah vaksinasi. Abd Rahman (2013) mendefinisikan vaksinasi sebagai satu proses pengaktifan sistem imun buatan manusia sebagai usaha untuk melindungi manusia daripada penyakit berjangkit.
Untuk kefahaman yang mudah, antibodi merupakan kaedah semulajadi dalam badan untuk melawan penyakit. Walau bagaimanapun, apabila antibodi badan seseorang itu lemah ia boleh diaktifkan semula melalui suntikan vaksin. Suntikan vaksin pelalian atau proses imunisasi boleh mengelakkan penyakit yang mendatang.
Imunisasi atau suntikan vaksin pelalian adalah bertujuan untuk menguatkan antibodi/daya tahan badan terhadap penyakit. Kaedahnya adalah melalui suntikan dengan memasukkan “sesuatu” ke dalam badan agar badan dapat bertahan dengan penyakit yang berbahaya.
Suntikan satu pelalian/imunisasi hanya bertahan untuk satu jenis penyakit sahaja dan untuk mengimun diri daripada penyakit lain memerlukan suntikan pelalian yang berbeza. Contohnya, untuk penyakit HPV, Hepatatis A,dan Hepatatis B memerlukan suntikan yang berbeza dan bukanya satu dos untuk kesemuanya.
Syariat Islam amat menitikberatkan kaedah pencegahan sama ada secara umum ataupun khususnya dalam perubatan. Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran yang berkaitan dengan langkah pencegahan. Antaranya ialah firman Allah Taala yang bermaksud, “Janganlah kamu melemparkan diri kamu ke lembah kebinasaan” (al-Quran. al-Baqarah: 2/195).
Ayat al-Quran ini walaupun tidak menjelaskan secara terperinci tentang langkah pencegahan, namun ia adalah prinsip umum yang perlu diikuti oleh manusia untuk menjaga keselamatan diri mereka dengan tidak mendedahkan diri kepada perkara-perkara yang boleh membinasakannya (Irwan Mohd Subri, 2004).
Manakala hadis yang berkaitan dengan langkah pencegahan, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhariyy, daripada Usamah bin Zayd bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Jika kamu mengetahui wabak taun berlaku di sesuatu kawasan maka janganlah kamu memasukinya. Jika ia berlaku di sesuatu kawasan yang kamu diami maka janganlah kamu keluar dari kawasan itu” (Hadis. al-Bukhariyy. Bab Ma Yuzkar Fi al-Ta’un. No. 5396).
Abu Hurayrah pula meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud, “Janganlah kamu membentangkan (mencampurkan) orang yang sakit dengan orang yang sihat” (Hadis. Abu Dawud. Bab Fi al-Tiyarah. No. 3913).
Hadis-hadis ini jelas menunjukkan tentang langkah pencegahan yang harus diambil jika berlaku sesuatu penyakit atau wabak. Tindakan yang berkait dengan pencegahan memang sangat dituntut oleh Islam malah ia sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu sadd al-dhari’ah (menyekat pintu kerosakan). Langkah pencegahan taun juga dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Umar.
Al-Tahawiyy (t.th) dalam kitabnya menceritakan bahawa ketika Saidina Umar menuju ke Sham atas suatu urusan, beliau telah diberitahu bahawa Sham sedang dilanda wabak taun. Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki Sham. Bahkan beliau telah berpatah balik sebagai langkah pencegahan dalam menghadapi wabak tersebut.
Ini bertepatan dengan objektif Syarak (maqasid al-Shari’ah) yang antaranya ialah menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan harta (hifz al-mal) (al-Shatibiyy, t.th). Menjaga nyawa dapat direalisasikan melalui halangan orang luar daripada masuk ke tempat yang sedang dilanda wabak seperti taun.
Begitu juga melalui halangan pesakit yang terdedah kepada penyakit daripada keluar daripada tempat tersebut, seterusnya boleh menjangkiti orang lain. Manakala menjaga harta dapat direalisasikan melalui penyelamatan wang ringgit daripada dibazirkan untuk merawat pesakit jika langkah pencegahan tidak diambil.
Berhubung dengan kaedah pencegahan melalui vaksinisasi dapat dilihat dalam beberapa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia di atas. Daripada tahun 1988-2013, terdapat tujuh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia berkenaan vaksin di Malaysia khususnya. Ia adalah seperti berikut:
1. Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) (tahun 1988).
2. Imunisasi Hepatatis B (tahun 1988).
3. Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (tahun 1989).
4. Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (tahun 2002 dan dipinda keputusannya pada 2014).
5. Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq (tahun 2008).
6. Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (tahun 2010).
7. Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).
Daripada tujuh keputusan ini, hanya Vaksin Biothrax dan Vaksin Rotateq sahaja yang tidak dibenarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia kerana mengandungi unsur haram dan tidak berlaku keadaan darurat untuk mengambilnya.
Daripada contoh-contoh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia tersebut juga, dapatlah disimpulkan bahawa keharusan pengambilan sesuatu vaksin bukanlah bersifat secara mutlak. Ia mempunyai syarat-syarat seperti berikut:
i. Sumber vaksin hendaklah daripada bahan-bahan yang suci dan tidak najis.
ii. Jika tidak dapat dielakkan, vaksin yang bersumberkan daripada bahan haram dibenarkan atas dasar darurat.
iii. Sekiranya terdapat dua pilihan vaksin iaitu yang bersumberkan bahan halal dan yang haram, maka wajib memilih vaksin yang bersumberkan bahan halal.
iv. Sebarang pengenalan kepada vaksin baru di Malaysia khususnya, perlulah mendapat kelulusan hukum pihak berkuasa agama seperti Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terlebih dahulu.
Hal ini termasuk dalam isu-isu fiqh kontemporari yang memerlukan kepada hukum supaya umat Islam faham tentang hukum pengambilan vaksin-vaksin tersebut. Seterusnya ia tidak lagi menimbulkan sebarang keraguan sama ada sesuatu vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenarkan atau tidak menurut Syarak.
Berdasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang dibentangkan sebelum ini, pemberian vaksin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghalang sesuatu penyakit berjangkit adalah menepati tuntutan Syariat Islam. Hal ini kerana Rubela, Hepatitis B, Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus, Polio, Meningococcal Meningitis, Anthrax dan Human Papilloma Virus (HPV) adalah penyakit berjangkit dan boleh membawa maut jika tidak diberi ubat pencegahan (vaksin).
Jadi, dengan memberi vaksinisasi kepada penyakit-penyakit ini, bawaan berjangkit oleh penyakit-penyakit ini dapat dielakkan. Seterusnya ia dapat menyelamatkan nyawa orang ramai berbanding jika langkah pencegahan ini tidak diambil.
Vaksinisasi bukan sahaja menjaga individu yang mengambil vaksin tersebut, bahkan ia juga boleh menjaga kesihatan masyarakat keseluruhannya dan mencegah penyaakit berjangkit daripada menyerang mereka. Perkara ini telah menepati objektif syarak yang dituntut oleh Islam.
Islam telah menggariskan langkah-langkah pencegahan penyakit sejak sekian lama sama ada melalui nas al-Quran mahupun al-Sunnah. Kata-kata “mencegah lebih baik daripada merawat” dan “ilmu pengetahuan asas pencegahan” amat bertepatan dengan kaedah pencegahan penyakit dalam Islam.
Namun pada masa yang sama, Islam menggariskan panduan yang penting dalam kehidupan penjagaan kesihatan dengan melazimi kaedah rawatan yang berunsurkan halal. Walau bagaimanapun, jika disebabkan keadaan yang darurat, Islam membolehkan umatnya merawat dengan menggunakan benda haram sekadar yang perlu sahaja bagi menjaga maslahah umat dan juga maqasid al-shari’ah.
Justeru, amat penting bagi pengkaji dan pakar dalam bidang perubatan dan agama berkerjasama untuk menentukan sama ada boleh atau tidak untuk menggunakan sesuatu vaksin. Ini bagi menghilangkan keraguan terutamanya masyarakat awam terhadap hukum penggunaan vaksin tersebut.
Berdasarkan pembentangan keputusan-keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia mengenai vaksin, telah menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama Malaysia amat mengambil berat tentang halal haram vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pihak KKM juga memohon pandangan hukum daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak sebagai urus setia kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia berkenaan vaksin yang mereka perkenalkan kepada rakyat Malaysia.
Keputusan fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam Malaysia juga pada dasarnya selari dengan kaedah pencegahan dalam syariat Islam. Ia dapat diqiyaskan melalui hadis Usamah bin Zayd mengenai taun pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab. Dalam kes tersebut, Umar mengambil pendirian atau “polisi” tidak membenarkan delegasinya masuk ke Syam untuk menyelamatkan nyawa sebagai pencegahan kerana taun wabak yang merbahaya yang boleh membawa maut.
Begitulah juga dalam kes vaksin, pihak KKM memberikannya kepada masyarakat bermula daripada kanak-kanak hinggalah dewasa sebagai langkah pencegahan kepada beberapa penyakit yang boleh membawa maut. Apatah lagi vaksin-vaksin yang diperkenalkan oleh KKM telah mendapat pandangan hukum sama ada ia harus digunakan atau tidak. Justeru, masyarakat Islam khususnya tidak perlu berasa ragu terhadap vaksin atau program imunisasi di Malaysia.