NILAI, 17 NOVEMBER (Ahad) – Seramai 168 orang Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ditauliah serentak dalam Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa Universiti Awam 2019 yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Najihah.
Majlis Pentauliahan ini disempurnakan oleh YAS Dato’ Mohammad Hamdan bin Haji Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kepada 42 orang siswa USIM; 51 orang siswa UiTM dan 75 orang siswa UTHM yang telah berjaya menjalani 120 jam kredit latihan kebombaan iaitu selama tiga semester pengajian di universiti masing-masing.
Majlis dimulakan dengan Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Kehormat di Bangunan Canselori, disusuli dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Najihah dan diikuti Majlis Terima Sijil Pentauliahan PBBS di Dewan Tuanku Canselor.
Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin; Dato Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM; dan Profesor Madya Dr. Nurlida Basir, Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi bersama Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Azizan Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UiTM menerima Pangkat Kehormat JBPM yang disempurnakan sendiri pemakaiannya oleh YAS Ketua Pengarah JBPM.
Menurut YAS Dato’ Mohammad Hamdan, Pegawai Bomba Bantuan Siswa adalah pendekatan terbaru Jabatan untuk memperkenalkan fungsi dan tugas-tugas Jabatan disamping menyampaikan ilmu dan pengetahuan berkaitan kebombaan kepada mahasiswa mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Ujar beliau lagi, objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan kebombaan dan penyelamatan serta menerapkan semangat kesukarelawanan Bomba bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin, jati diri yang tinggi dan berpengetahuan dalam bidang kebombaan dan keselamatan kebakaran.
“Dengan tertubuhnya PBBS, secara tidak langsung pihak universiti akan dapat membentuk pasukan yang berupaya mengendalikan tindakan awal apabila berlakunya sebarang kecemasan di persekitaran kampus. Selain itu, mereka turut mampu melaksanakan tugas-tugas pemantauan serta pencegahan bagi mengawal serta mengelak sebarang insiden daripada berlaku. Ia adalah selaras dengan hasrat jabatan untuk melahirkan komuniti yang mengutamakan budaya keselamatan dalam kehidupan seharian.”
Pada majlis yang sama, tiga pelajar USIM mendapat anugerah masing-masing iaitu Nor Izzati Khairi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat menerima Anugerah PBBS Terbaik Teori,; Fatin Nabila Samadi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat menerima Anugerah PBBS Terbaik Praktikal manakala Anugerah Pelatih Terbaik (Keseluruhan) diberikan kepada Abdul Salam Ahmad dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.
Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan