SERDANG – Seramai 39 Pegawai Kadet Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (LtM) dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-43 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 13 September 2025.

Secara keseluruhan, istiadat penuh tradisi ketenteraan ini telah meraikan seramai 1,927 Pegawai Kadet daripada 20 Universiti Awam di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 39 Pegawai Kadet PALAPES USIM yang terdiri daripada 22 lelaki dan 17 wanita terlibat dalam menjayakan Istiadat Pentauliahan Diraja PK PALAPES UA kali ini. Istiadat tersebut juga telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, Raja Muda Selangor.

Dalam majlis itu, LtM Abdullah Sani Abdul Ghani, 23 tahun, mahasiswa Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian) USIM, telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES USIM.

Anak kelahiran Baling, Kedah ini pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Rendah Kanan PALAPES USIM, Pengerusi Pegawai Kadet Peringkat Senior dan Pegawai Kadet PALAPES USIM serta mewakili universiti ke Program Persidangan Sukarelawan Belia Siswa Kebangsaan tahun lalu.

Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Kolonel (Kehormat), berkata bahawa pencapaian LtM Abdullah Sani adalah bukti komitmen serta ketekunannya sepanjang beliau bergelar pegawai kadet.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat namanya sebagai Pegawai Kadet Terbaik, malah turut mengharumkan nama USIM. Ia membuktikan bahawa mahasiswa kita mampu menyerlah dalam bidang ketenteraan selain akademik, sekali gus menjadi teladan kepada rakan-rakan lain,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada semua Pegawai Kadet agar terus mengekalkan disiplin, semangat kepimpinan dan kesetiaan kepada negara di mana sahaja mereka berkhidmat kelak.

Kejayaan LtM Abdullah Sani ini sekaligus memperkukuh hasrat USIM dalam melahirkan graduan holistik, berintegriti dan berdaya saing demi pembangunan negara. Hal ini juga selaras dengan Amanat Naib Canselor USIM – Sasaran Keempat: Ekosistem Pembolehdaya dan Pembangunan Bakat, melalui pemantapan Model Pembangunan Bakat Kepimpinan Berasaskan Kompetensi yang mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ).