NILAI – Hujan renyai-renyai tidak menghalang lebih 400 peserta Program Larian Sambutan 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk berlari mengelilingi kampus USIM baru-baru ini. Program yang berlangsung dalam suasana meriah ini menghimpunkan warga USIM merangkumi kakitangan, pelajar, alumni serta peserta luar.

Pelepasan larian bermula di Kompleks Sukan Tunku Najihah dengan jarak sejauh lima (5) kilometer melalui beberapa lokasi utama kampus seperti Bulatan IQRA, Bangunan Canselori, Bulatan Ilmu, Kompleks Islam Tuanku Muhriz dan Dewan Tuanku Canselori.

Program anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM bersama Urus Setia Sambutan 25 Tahun USIM ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah yang hadir mewakili Naib Canselor USIM.

Sebelum melepaskan peserta, Prof. Dr. Mushaddad turut meluangkan masa bersama peserta dalam sesi senamrobik dan menyampaikan ucapan penghargaan mewakili pihak pengurusan universiti atas sokongan dan penglibatan semua pihak.

Menurut Presiden PRAGMATIS, Dr. Helmi Mansor, penganjuran larian kampus bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, pihaknya tampil dengan konsep yang lebih unik dan berbeza sempena Sambutan 25 Tahun USIM.

“Larian kali ini dimeriahkan dengan penyediaan stesen makanan dan minuman di beberapa lokasi sepanjang laluan. Antara juadah yang disediakan termasuk popia sira, donut dan burger Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, stesen gorengan panas seperti keropok lekor dan pisang goreng turut menjadi tarikan istimewa, sekali gus menceriakan suasana dan mewujudkan interaksi santai dalam kalangan peserta sepanjang larian.

Program ini membawa simbolik kepada sambutan Jubli Perak USIM, di mana angka lima (5) melambangkan 25 tahun perjalanan universiti dalam memacu kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan insan. Setiap langkah yang diatur mencerminkan semangat muafakat warga USIM selari dengan peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Penganjur turut memperkenalkan hadiah khas kepada peserta yang menampilkan tema 25 Tahun USIM sebagai inisiatif menggalakkan kreativiti dan menyemarakkan kemeriahan program.

Turut hadir memeriahkan program ialah barisan dekan fakulti dan ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) USIM yang mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap penganjuran aktiviti berimpak tinggi berteraskan kesejahteraan kampus.

PRAGMATIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja korporat termasuk usahawan alumni USIM yang bersama-sama menjayakan program ini.

Secara keseluruhan, Program Larian Sambutan 25 Tahun USIM bukan sekadar acara kesukanan, malah menjadi wadah merakam kenangan bermakna dan simbol kesyukuran atas perjalanan 25 tahun USIM serta azimat untuk melangkah lebih gagah ke masa hadapan.

Oleh: Zaini Othman