NILAI, 6 Januari 2023 – Mahasiswa merupakan agen perubahan masyarakat yang mampu mempengaruhi suara dan buah fikiran serta memberikan impak dalam agenda pembangunan sesebuah negara. Penting bagi sebuah universiti untuk memperkasakan mahasiswanya dengan barisan kepimpinan yang mewakili suara mahasiswa dan seterusnya bertindak sebagai ‘orang tengah’ yang dapat memainkan peranan penting dalam membantu Pengurusan Universiti untuk mencapai visi dan misinya.

Justeru, bertempat di Dewan Senat, penyampaian watikah kepada 45 orang ahli Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi 2022/2023 disempurnakan oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Lafaz Ikrar telah disampaikan oleh Yang Dipertua MPP baharu iaitu saudara Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin.

Dalam ucapan Naib Canselor, beliau mengharapkan agar barisan MPP yang baharu ini menjadi wadah kepada semua Pusat Tanggungjawab USIM dengan menjaga hubungan baik bersama pihak pengurusan universiti serta mengharmonikan hubungan diantara pelajar dan pihak pengurusan.

Tambah beliau lagi, barisan MPP harus berganding bahu bersama pengurusan universiti dalam menterjemahkan 4 agenda utama yang sedang giat dilaksanakan iaitu usaha untuk memastikan USIM mempunyai daya keterlihatan yang tinggi (visibility@USIM), mewujudkan aliran kewangan yang mampan (financial sustainability@USIM), melahirkan warga kampus yang prihatin (care@USIM) serta menjadikan USIM sebagai sebuah Universiti Awam yang cakna terhadap komuniti (community@USIM).

Sementara itu, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dalam ucapan aluannya menyeru barisan MPP untuk melihat dan sama-sama menggembleng tenaga dalam mencapai 5 Misi HEPA bagi tahun 2023 iaitu, Penyerlahan Personaliti Unggul Mahasiswa, Pemerkasaan Tabung Kebajikan dan Pembiayaan Pelajar, Memperkasakan Persatuan Alumni Sebagai Rakan Strategik, Pengantarabangsaan Bakat dan Potensi, dan Pembudayaan Keusahawanan dalam Program Akademik.

Majlis turut menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan MPP yang telah menjalankan peranan dan tanggungjawab sepanjang Sesi Lantikan 2021/ 2022.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan