Melbourne, 7 Januari 2014 – Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diketuai oleh Pengarah ACREDA, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani bersama 32 orang pelajar Program Fleksi Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah dan Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA sesi 2012/2013 mengadakan program pengantarabangsaan serta lawatan akademik dan teknikal ke Melbourne, Australia.

Program selama enam hari tersebut telah berjaya memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelajar mengenai modaliti rawatan dan pemulihan penagihan dadah yang digunakan di pusat-pusat pemulihan di Melbourne.

Lawatan ini merupakan satu inisiatif pihak ACREDA dalam memberi peluang kepada siswazah untuk membuat kajian dan perbandingan modaliti rawatan dan pemulihan penagihan dadah di negara luar. Selain itu, lawatan ini memberi pendedahan kepada siswazah tentang isu penyalahgunaan dadah serta memahami usaha negara luar bagi membantu dalam memberi rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah.

Para pelajar telah membuat lawatan ke beberapa pusat yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah di Melbourne seperti Western Region Health Centre, Australia Drug Foundation dan Turning Point Victoria. Sesi pertukaran idea dan percambahan ilmu turut berlangsung sepanjang lawatan bagi memastikan semua pelajar dapat memahami isu dan kaedah pencegahan dadah dan program harm reduction yang diaplikasikan oleh kerajaan Australia dalam menangani masalah penagihan dadah di kalangan masyarakat.

Program pengantarabangsaan ini amat memberi manfaat kepada para pelajar daripada segi peningkatan pengetahuan dan pengalaman yang jarang dapat dikongsi. Lawatan ini juga merupakan platform untuk memperkasakan ilmu rawatan dan pemulihan dalam penyalahgunaan dadah apabila pelajar telah mula berkhidmat dalam organisasi setelah tamat pengajian kelak.

Pihak ACREDA berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak program pengantarabangsaan pada masa akan datang bagi memberi input serta pengalaman yang bernilai kepada para pelajar di samping melebarkan sayap jaringan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan pendidikan penyalahgunaan dadah.

Disediakan oleh :

Khairunnisa Ismail

Penolong Pendaftar

Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA)

Dikemasikini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)