Putrajaya, 10 Jun 2011 – Sejak daripada peringkat awal kehadiran Islam ke bahagian dunia ini, telah banyak faedah dan kesan pembangunan positif dinikmati oleh penduduk di kawasan ini. Pandangan hidup yang berteraskan kepada petunjuk wahyu Ilahi dan daripada lipatan sunah dan sirah Rasulullah SAW telah menggantikan segala kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang tidak berasaskan kepada ilmu dan kebenaran yang ada dalam masyarakat.

Kehadiran Islam di Nusantara amnya dan Malaysia khasnya telah melahirkan masyarakat yang moderat berteraskan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan berlandaskan kehendak syariah.  Manifestasi kecemerlangan Islam berteraskan konsep wasatiyyah di Malaysia dapat dilihat menerusi kemunculan dan perkembangan tamadun Islam yang gemilang di negara ini termasuk perlaksanaan sistem yang berteraskan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Amalan toleransi dan prinsip keadilan sosial yang dipraktikkan di negara ini juga adalah selaras dengan prinsip ajaran Islam dan berjaya membina masyarakat berbilang kaum yang hidup bersama secara harmoni dan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

Bagi mengembalikan kesedaran akan peri pentingnya kedudukan Islam dalam segenap lapisan masyarakat di Malaysia yang telah bertapak di rantau ini sejak daripada seribu tahun yang lampau sehingga sekarang dan peranannya dalam pembinaan masyarakat dan tamadun berteraskan konsep wasatiyyah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Nadi Dialog Malaysia (NADI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara pada 10 dan 11 Jun lepas bertempat di Hotel Pullman, Putrajaya.

Konvensyen yang julung kali diadakan di rantau ini bertujuan untuk menjelaskan kepada masyarakat peranan dan pengaruh Islam yang telah lama bertapak di Malaysia dan menjangkau lebih daripada seribu tahun dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika berucap pada majlis perasmian konvensyen tersebut turut memberi peringatan kepada rakyat mengenai konsep wasatiyyah atau kesederhanaan berimbang yang dimaksudkan bukanlah kesederhanaan menurut tafsiran pihak luar yang cuba ‘mencanai’ umat Islam mengikut tasawur mereka. Sebaliknya, beliau menjelaskan, wasatiyyah dalam pengertian negara adalah amalan yang diteladani daripada Rasulullah SAW serta melalui rentetan sirah. Antaranya melalui mengambil konsep semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiah serta kesederhanaan berimbang khalifah-khalifah Khulafa al-Rasyidin serta para sahabat kemudian. Dalam konteks negara ini, Najib berkata, pendekatan wasatiyyah perlu dititikberatkan sesuai dengan kepelbagaian agama dan budaya yang diamalkan di kalangan rakyat.

Konvensyen selama dua hari itu dihadiri para pemimpin negara, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemerhati politik serta mahasiswa yang menyaksikan lima kertas kerja dibentangkan bagi membincangkan konsep wasatiyyah disertai kupasan-kupasan menarik meliputi aspek keagamaan, kemasyarakatan, sejarah, politik, ekonomi, dan syariah.

Antara tajuk pembentangan yang dikupas pada konvensyen tersebut ialah Satu Milenium Islam Sebagai Paksi Perpaduan Serumpun oleh ahli akademik dari Indonesia, Profesor Dr. Muslim Ibrahim; Konsep Wasatiyyah: Perspektif Sosial Sains oleh Profesor Datuk Dr. Zainal Kling; Satu Milenium Islam di Nusantara: Tinjauan Sosio-Sejarah oleh Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif; Wasatiyyah Menjamin Keamanan Sejagat oleh Imam Feisal Abdul Rauf dan Konsep Wasatiyyah: Persepektif Islam oleh Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Jawatankuasa Resolusi Konvensyen Wasatiyyah telah bersetuju sebulat suara untuk merumuskan tujuh resolusi untuk diberi perhatian oleh semua pihak dan dibacakan oleh Datuk Abdul Manaf Haji Ahmad, Pengarah Bersama bagi konvensyen tersebut.

Resolusi pertama menyatakan fakta ilmiah yang ditemui membuktikan kehadiran Islam kepada masyarakat Nusantara bermula sejak kurun pertama Hijrah dan satu kajian saintifik diperlukan segera bagi memuktamadkan hakikat tersebut.

Resolusi kedua merujuk sejarah kedatangan Islam di alam Melayu secara langsung telah memupuk konsep amalan wasatiyyah dalam masyarakat selaras dengan tuntutan Islam yang syumul.

Resolusi ketiga pula berkaitan keperluan untuk mendalami konsep wasatiyyah secara lebih menyeluruh agar dapat menghindari salah tafsir dan elemen kontradiksi dalam pemikiran masyarakat.

Resolusi keempat berkenaan soal melihat keperluan untuk menterjemahkan konsep wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan sebagai satu falsafah bangsa Melayu Nusantara termasuk dari sudut politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Resolusi kelima, konsep wasatiyyah yang diamalkan oleh masyarakat Islam selama ini perlu diperkukuhkan sebagai teras agenda pengukuhan gagasan perpaduan ummah sejagat.

Resolusi keenam mencadangkan supaya sebuah institut strategik kajian wasatiyyah ditubuhkan bagi melaksanakan keperluan tersebut.

Resolusi ketujuh pula menyatakan sebuah Suruhanjaya Penasihat Agama Islam yang bertanggungjawab kepada Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu ditubuhkan bagi memantau dan mendapatkan nasihat tentang isu terkini hal ehwal agama Islam secara lebih efektif.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Wasatiyyah, Tan Sri Dr. Yusof Mohd. Noor, konsep wastiyyah dilihat mampu menutup ruang-ruang perselisihan faham akibat perbezaan pendapat di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sekiranya ia tidak dikekang, pasti akan menimbulkan ketidakpuasan hati pada masa akan datang.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia