KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Dua penuntut Tahun Empat Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah tersendiri buat diri mereka apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2013 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di Terengganu pada 1 Mac 2014 lalu.

Pada majlis tersebut,  Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, penuntut Sarjana Muda Perakaunan  dan Arrharatnasari Kanchong Ma’arof, penuntut Sarjana Muda Pentadbiran dan Hubungan Korporat masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam Terbaik dan Anugerah Pemimpin Kelab/Persatuan Terbaik. Melalui anugerah ini, mereka berdua membawa pulang hadiah wang tunai RM 1000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II.

Saudara Muhammad Iqmal Hisham merupakan Pengerusi Kelab Debat USIM sesi 2013,mula bergiat aktif dan berjinak dengan pengucapan awam sejak tahun 2010 lagi apabila mewakili USIM menyertai Pertandingan Debat Piala Naib Canselor, Pertandingan Debat Terbuka ASTAR Universiti Malaya dan beberapa pertandingan debat lain antara Universiti. Apabila menjadi Pengerusi Kelab Debat, beliau berpeluang menganjurkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian Tinggi ASEAN Kali Keenam 2013 yang disertai oleh pendebat dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Selain itu, Universiti turut memberi kepercayaan kepada Kelab Debat di bawah pimpinan beliau bagi menganjurkan Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ke-6 dan Jemputan  Nusantara pada tahun yang sama.

“Saya berharap agar mahasiswa USIM terutamanya ahli Kelab Debat dapat meneruskan misi dalam mengharumkan nama USIM di persada dunia, agar USIM terus melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa selari dengan moto Kelab Debat ‘Membina Pewaris Legasi Gemilang”, kata beliau.

Sementara itu, bagi Arrharatnasari Kanchong Ma’arof, beliau amat terhutang budi dengan Kelab Enactus yang menjadi platform untuk beliau aktif dengan kegiatan khidmat masyarakat. Peluang dilantik sebagai Pengerusi Kelab Enactus USIM dimanfaatkan sebaik mungkin. Antaranya beliau dan Kelab Enactus mengambil inisiatif menganjurkan program khidmat komuniti di luar negara melalui Program Global Islamic Students Outreach (GISO) dalam Misi Bantuan Kemanusiaan di Bandung, Indonesia.

“Melalui program ini, saya dan rakan-rakan dapat membantu masyarakat Kg. Mokla Desa Cihanjuang Rahayu, Bandung untuk membaik pulih tandas dan kemudahan wudhu’ di Masjid Al-Huda yang digunakan hampir 250 orang penduduk sekitar serta aktiviti pengisian lain yang amat mereka hargai”.

Tambahnya lagi, melalui projek khas, Life Inspired Project, Kelab ini mengambil peluang mendekati golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Senawang, Negeri Sembilan dengan lebih dekat dengan membantu mereka dalam aspek penjanaan pendapatan melalui keusahawanan melalui sumbangan sebuah mesin popcorn serta menyediakan strategi dan nasihat pemasaran.

Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2013 yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini adalah bertujuan memberi pengiktirafan kepada para mahasiswa dalam bidang kepimpinan dan kesukarelawanan di Universiti.  Penganjuran kali pertama ini secara tidak langsung mencipta sejarah pendidikan tinggi negara kerana ia menjadi majlis utama yang menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar IPT yang menonjol dalam bidang kokurikulum serta akademik.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media

Dikemaskini oleh:

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar