Kelab Wardah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Hi-Tea bertemakan “Back to School: Nostalgia Sisterhood” yang dihadiri seramai lebih 99 ahli bertempat di Dewan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) baru-baru ini. Penganjuran majlis ini bertujuan memperkukuh ikatan silaturahim serta meraikan kebersamaan dalam kalangan ahli melalui konsep yang unik, santai dan sarat nilai kekitaan.

Pengerusi Kelab Wardah, YBhg. Prof. Madya Datin Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa program seumpama ini merupakan platform penting bagi menghargai komitmen dan sumbangan ahli-ahli kelab, di samping menyuntik semangat kerjasama serta memupuk budaya kekitaan dalam suasana yang lebih mesra dan santai berbanding persekitaran kerja harian.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran selebriti jemputan, Fynn Jamal yang menyampaikan sesi perkongsian bertajuk “Ukhuwah Wanita dan Sisterhood: Menjadi Perempuan yang Kuat”. Dalam perkongsiannya, beliau berpesan, “Wanita yang kuat tidak berlumba, tetapi berjalan bersama. Ukhuwah akan terus terpelihara apabila kita kekal beradab walaupun berbeza pandangan.”

Selain jamuan minum petang yang menyajikan pelbagai menu tradisional dan moden, majlis ini turut meraikan kecemerlangan akademik keluarga ahli melalui penyampaian saguhati kepada anak-anak ahli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah, penyampaian anugerah busana terbaik yang menonjolkan kreativiti ahli mengenakan pakaian seragam sekolah, selain beberapa sesi cabutan bertuah yang menambah keterujaan para hadirin.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran hadiah sebelum para tetamu bersurai. Secara keseluruhannya, Majlis Hi-Tea Back to School: Nostalgia Sisterhood ini bukan sahaja berjaya mencetuskan suasana yang ceria dan bermakna, malah menjadi platform berkesan dalam memperkukuh ukhuwah serta menyemai semangat sisterhood dalam kalangan ahli Kelab Wardah USIM.