NILAI – Dominasi baru di dalam arena perdebatan Universiti Sains Islam Malaysia telah membuktikan bahawa bakal doktor juga mampu bergelar seorang pendebat yang petah berkata-kata dengan hujah dan fakta yang boleh mematahkan pihak lawan.
Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012 yang berlansung pada 7 April yang lalu telah mencatatkan sejarah yang tersendiri buat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan tersebut.
Kejohanan yang mempertandingkan tiga kategori bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, serta Bahasa Arab ini merupakan anjuran Kelab Debat USIM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Peringkat akhir bagi kategori Debat Bahasa Melayu telah menyaksikan pertembungan di antara Pusat Tamhidi selaku pihak kerajaan, dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) selaku pihak pembangkang, kemenangan berpihak kepada Pusat Tamhidi sebagai juara dengan undian juri profesional sebanyak lima berbalas dua.
Manakala, Debat Bahasa Inggeris diungguli FPSK selaku pihak pembangkang yang bertemu dengan FSU selaku pihak kerajaan dengan keputusan juri berpihak kepada FPSK sebanyak lima berbalas dua.
Kehebatan FPSK tidak dapat disangkal lagi apabila turut mengungguli kategori Bahasa Arab dengan menewaskan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) di peringkat akhir, seterusnya mengangkat FPSK selaku juara keseluruhan Debat Piala Naib Canselor bagi tahun ini.
Pendebat terbaik kategori Bahasa Arab, Muhamad Harith Abdul Rani, Tahun 2, FPSK, menyatakan kesyukuran beliau yang tidak terhingga di atas penganugerahan tersebut.
“Debat merupakan salah satu medium untuk menyampaikan mesej agama dan insya-Allah saya akan teruskan penglibatan dalam arena ini bagi mengangkat semula imej Islam,” ujar beliau.
Menurut Muhammad Alif Haji Md. Salleh, Tahun 3, FSU, yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik kategori Bahasa Inggeris menyifatkan kemenangan tersebut adalah sesuatu di luar jangkaannya.
“Arena debat di Malaysia merupakan satu bentuk perdebatan yang menarik dan saya mempelajari banyak ilmu baharu, di samping dapat memperbaiki kemahiran berkomunikasi yang sedia ada,” tambahnya.
Beliau yang juga merupakan pelajar pertukaran antarabangsa dari Brunei turut menyatakan akan mempraktikkan ilmu debat yang diperoleh di arena debat tanah airnya nanti.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda dalam ucapannya ketika merasmikan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor menyatakan bahawa arena debat merupakan salah satu bentuk latihan awal mempersiapkan diri sebelum graduan ini dapat menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Saya percaya debat merupakan satu platform terbaik dalam membangunkan jati diri ke arah pembinaan mahasiswa yang cemerlang, di samping memperoleh pengalaman yang sangat berguna,” tambah beliau.
“Saya turut berharap agar golongan pelapis yang lahir pada hari ini mampu mengulangi kejayaan yang telah ditempa oleh para pendebat terdahulu dalam mengukir nama universiti di persada debat antarabangsa,” ujar beliau lagi.
Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda kemudiannya berbesar hati menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Oleh:
EB KUZA YUSOF