NILAI – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang merupakan antara institusi perbankan utama negara telah memilih USIM sebagai penerima wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang pengajian mereka. Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Norasni Ayob, Ketua Pegawai Operasi BIMB kepada YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM.

Pada majlis ini, pihak Bank Islam telah menyampaikan sebahagian wang zakat mereka bagi tahun 2011 berjumlah RM 50,000.00 kepada Universiti. Sumbangan ini merupakan sumbangan berterusan kepada institusi terpilih dan USIM pernah menerima sumbangan wang zakat dari Bank Islam pada tahun lalu.

Pemberian sumbangan wang zakat seperti ini oleh pihak korporat mahupun individu amat digalakkan dan dihargai oleh Pengurusan Universiti. Melalui pemberian seperti ini, ia dapat meringankan bebanan kewangan pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya untuk menjelaskan yuran pengajian mereka.

Menurut YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang turut hadir dalam majlis ini berkata “USIM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai para penerima zakat yang layak dan satu garis panduan penilaian penerima zakat telah kita sediakan. Pemberian zakat ini kita berikan kepada asnaf yang layak meliputi tiga (3) golongan sahaja iaitu fakir, miskin dan fisabilillah”

“Mekanisme penentuan penerima yang layak dibuat secara telus dan terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan ini yang dibangunkan hasil rujukan kepada garis panduan agihan zakat oleh institusi zakat dan juga JAWHAR” katanya lagi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat kepada pelajar yang layak telah diadakan oleh USIM setiap tahun. Pada tahun lalu, setiap seorang pelajar dalam golongan fakir menerima RM 1500.00, golongan miskin sebanyak RM 1000.00 dan golongan fisabilillah adalah sebanyak RM 500.00. Jumlah wang zakat ini adalah bergantung kepada sumbangan zakat yang diterima Universiti dan bilangan permohonan yang layak pada tahun berkenaan.

“Melalui iklan permohonan wang zakat yang diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pada tahun 2013 ini kita dapati jumlah permohonan bertambah dari tahun sebelumnya dan pastinya sumbangan wang zakat yang diterima pada hari amat kita hargai” ulas Puan Siti Khadijah Mohamad, Penolong Pendaftar, Unit Penajaan dan Tatatertib Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

E-mel     : zainiothman@usim.edu.my
Tel     : 06-798 8061/8028