NILAI: Seramai 300 orang peserta dari pelbagai latar belakang terlibat dalam Program Bicara Dakwah Madani SIRI (II): Citra Dakwah Dalam Nahdah Ummah yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP) USIM dalam usaha untuk mempersiapkan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan negara.

Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dalam ucapannya berkata, program ini juga merupakan persediaan mahasiswa sebelum menjadi pemimpin masa depan yang mempunyai pemikiran positif, kreatif lagi kritis dalam membina keintelektualan dalam  kerangka dakwah di Malaysia.

“Program berbentuk diskusi seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa untuk membuka minda dan fikiran anak muda kerana mereka adalah sebagai generasi pelapis yang terpaksa hidup dalam keadaan dunia yang mencabar pada hari ini,” ujar Prof. Dr. Mohd Yahya dalam ucapannya.

Prof. Dr. Mohd Yahya mencadangkan supaya setiap siri diterbitkan dalam e-book untuk membuka peluang kepada mahasiswa untuk mencedok ilmu daripada siri-siri sebelum ini.

Di samping itu, program ini juga menampilkan tokoh-tokoh ilmuan yang berbeza dengan membawa tajuk hebat dalam konteks dakwah madani untuk  mahasiswa.

Perkongsian penting yang disampaikan ialah kriteria imam masjid di era Sultan Suleiman yang hebat untuk dijadikan panduan kepada mahasiswa.

Dato’ Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia OIC dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam ucapannya berkata, banyak isu-isu seperti perang gaza telah membuka mata bukan sahaja mahasiswa tetapi seluruh negara tentang pasca-penjajahan.

“Anak-anak muda akan berhadapan dengan realiti dunia islam bakal lumpuh dan sudah tiada kekuatan. Mahasiswa perlu bersedia untuk menghadapi realiti dan cabaran-cabaran yang lebih besar pada zaman yang sangat membimbangkan dan untuk bersedia menghadapinya, kita perlu berbalik kepada sumber Al Quran  kerana itu adalah sumber kekuatan kita,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta program, Nur Izzatul Najwa Ramli, 22, berkata, program seperti ini memberi impak yang sangat besar kepada mahasiswa di mana peserta didedahkan dengan isu-isu yang sedang bergolak pada hari ini sekaligus membuka mata dan minda mahasiswa mengenai isu-isu semasa.

Moderator program dan juga merupakan Pengarah Al-Hady Centre (Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Pulau Pinang), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar berkata, USIM perlu melipat ganda lagi program seumpama ini kerana kita berada di dalam zaman edan yang bermaksud zaman gelap supaya dapat mendedahkan kepada anak muda zaman sekarang mengenai realiti dunia yang sebenar.

 

Oleh: Antasha Rashid