KUALA LUMPUR – Majlis Pelancaran Buku dan segmen Biar Buku Bicara: The Future of Islamic Finance: Beyond Legalism and Shari’ah Compliance berlangsung meriah di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Mei 2025 bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

Buku ilmiah hasil tulisan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini mengetengahkan pendekatan baharu dalam kewangan Islam yang melangkaui legalisme dan pematuhan syariah secara literal. Karya ini mengajak pembaca menilai semula hala tuju kewangan Islam dengan lebih mendalam dan berlandaskan maqasid serta nilai-nilai Islam sejati.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan merupakan seorang tokoh yang tidak asing dalam bidang kewangan Islam. Dengan latar belakang sebagai peguam bela dan peguam cara, beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dalaman di Bank Muamalat Malaysia Berhad telah membuktikan kepakaran beliau bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam dunia korporat dan kewangan.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, “Kewangan Islam masa hadapan bukan lagi sekadar soal bentuk kontrak atau pematuhan teknikal semata-mata, tetapi bagaimana sistem ini boleh menyumbang kepada keadilan sosial, keterangkuman ekonomi dan pembangunan yang lestari. Buku ini menyeru agar kita meletakkan nilai, etika dan maqasid sebagai teras utama dalam setiap amalan kewangan Islam.”

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Penerbit USIM yang menjadi penerbit rasmi buku ini dan Affin Islamic Bank atas sokongan serta sumbangan kepada pembangunan ilmu dan penyelidikan kewangan Islam.

Sebagai simbolik, sumbangan daripada Affin Islamic Bank telah disampaikan oleh Ustaz Lokmanulhakim Hussain kepada Naib Canselor USIM, melambangkan sokongan industri terhadap kolaborasi akademik-industri.

Program ini turut mendukung aspirasi Lonjakan 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025, dengan menekankan ekosistem inovasi melalui pendekatan Quintuple Helix, iaitu kerjasama antara kerajaan, akademia, industri, komuniti dan alam sekitar.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md Hashim, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, dan turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pengamal industri, pengkaji dan pencinta buku.

 

Sumber: Pusat Penerbit