NILAI – Dalam usaha untuk mencapai impak positif dalam pembangunan kandungan e-gamifikasi serta menggalakkan inovasi dan peningkatan e-pembelajaran di kalangan warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebanyak 19 kumpulan dari pelbagai fakulti dan Pusat Tangungjawab telah menyertai Pertandingan Minecraft Kampus Barakah Challenge 2023 (MKBC’23) dengan bertemakan USIM Cemerlang, USIM Disayang.

 Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) ini menyaksikan kumpulan Cybercraft Defender dari Fakulti Sains dan Teknologi merangkul Johan dengan membawa pulang wang tunai rm1500 berserta sijil. Manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Kumpulan Linguacraft dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Kumpulan Murid Falsafah dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Naib Johan membawa pulang RM1000 dan Tempat Ketiga membawa pulang RM500 berserta sijil penyertaan.

Naib Canselor Prof. Ts Dato’ Dr. Sharifuddin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, inisiatif e-Gamifikasi USIM ini diharapkan turut mampu menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar setiap IPT dapat mentransformasi Pengajaran dan Pembelajaran melalui kaedah Game-Based Learning yang sangat sesuai dengan jiwa generasi muda pada masa kini.

“Pendekatan menggunakan kaedah permainan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat akan menjadikan proses PdP lebih menarik, interaktif serta mengasyikkan (engaging). Ia selaras dengan hasrat KPT agar pendekatan kepada pendidikan fleksibel ditingkatkan melalui inovasi atau gamifikasi”, ujarnya lagi..

Melalui tema yang dibawa, di antara kriteria yang dituntut daripada para peserta dalam pertandingan ini adalah nilai integriti yang menjadi salah satu tunjang kepada Nilai-Nilai Teras USIM  serta pemangkin kepada kecemerlangan USIM di peringkat global,  serta para peserta juga perlu mengetengahkan kebanggaan terhadap USIM selaras dengan konsep “USIM Cemerlang, USIM Disayang”.

Turut hadir sama Puan Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan, Prof. Madya ChM. Dr. Siti Salhah Othman, Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL) dan Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan Timbalan Pengarah CETL.