NILAI – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini menyaksikan satu detik penuh emosi apabila sepasang suami isteri, Ahmad Sobri Iman Ahmad Fauzi dan Sharifah Amelia Syed Yazid, naik ke pentas bersama cahaya mata mereka, Ahmad Fateh (1 tahun 6 bulan), meraikan kejayaan keluarga kecil itu. Namun di sebalik senyuman bahagia, tersingkap sebuah kisah perjuangan luar biasa yang membuktikan ketabahan dan kekuatan mental seorang ibu muda.
Sharifah Amelia, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dengan kepujian Kelas Pertama, berdepan ujian berat apabila perlu menduduki peperiksaan klinikal OSCE, peperiksaan yang terkenal dengan tekanan tinggi hanya beberapa hari selepas melahirkan anak sulungnya. Dengan perancangan teliti mengatur kelahiran pada hujung minggu, beliau kembali ke kuliah pada hari Rabu menggunakan kerusi roda, tetap bertekad menyempurnakan amanah sebagai pelajar tanpa mengabaikan peranan sebagai ibu.
Kejayaan ini tidak hadir tanpa pengorbanan. Ia dibina melalui disiplin tinggi dan kerjasama erat antara pasangan ini. Ahmad Sobri Iman dan Sharifah Amelia mula mengenali sejak di Pusat Tamhidi USIM, dan sejak awal mereka mengamalkan pengurusan kewangan yang sangat berhemat, memanfaatkan sepenuhnya biasiswa JPA untuk membina simpanan sebelum mendirikan rumah tangga. Walaupun terpaksa melalui fasa hubungan jarak jauh apabila ditempatkan di kolej kediaman berlainan dan menjalani latihan klinikal di lokasi berbeza, mereka tetap belajar bersama secara dalam talian dan saling menguatkan.
Ahmad Sobri Iman yang pernah tersenarai dalam Top 10 pelajar terbaik Peperiksaan Profesional Tahun Dua sentiasa menjadi mentor kepada isterinya.
“Sebagai seorang suami, kita perlu sentiasa ambil tanggungjawab. Ini semua amanah, dan jangan sesekali berputus asa,”, ujarnya.
Selain rekod kehadiran kuliah 100%, Sharifah Amelia dan suaminya turut aktif dalam aktiviti kesukarelawanan. Kini pasangan doktor muda ini bersedia memasuki fasa seterusnya latihan siswazah (housemanship) selama dua tahun sebelum melangkah ke kerjaya sebagai Pegawai Perubatan.
Kejayaan mereka turut diperkukuh oleh sokongan keluarga yang menjaga Ahmad Fateh ketika mereka bergelut dengan tuntutan klinikal dan akademik. Sharifah Amelia menyimpulkan perjalanan ini dengan nasihat penuh makna untuk mahasiswa yang sudah berkeluarga.
“Yang penting, pandai bahagi masa untuk keluarga dan fokus pada pelajaran. Jangan berfikiran negatif.”, tambah Sharifah Amelia.
Kisah ini membuktikan bahawa dengan tawakal, perancangan rapi dan sokongan yang tepat, tiada halangan yang terlalu besar untuk diatasi demi sebuah kejayaan.
Oleh: Omar Mukhtar Hishamuddin

