NILAI – Di usia 28 tahun, Ahmad Taufiq Mat Yaacob, anak jati Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan, membuktikan bahawa mengejar cita-cita sejati memerlukan lebih daripada sekadar satu ijazah. Graduan kejuruteraan elektronik ini kini kembali ke pangkuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengejar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam), sambil menguruskan ladang pertanian dan berkhidmat sebagai Guru Ganti KAFA di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal.
Ahmad Taufiq, anak bongsu daripada empat adik-beradik yang kesemuanya merupakan pendidik, nekad mengikut jejak langkah keluarga. Beliau telah memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan dengan kepujian pada 2021, namun dorongan keluarga terutamanya ibunya, Puan Zabidah binti Salleh telah membulatkan tekadnya untuk menyambung pengajian dalam bidang keguruan.
“Setelah menamatkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), saya menerima dua tawaran serentak, iaitu Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di UPSI dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di USIM. Atas nasihat ibu dan melihat semua adik-beradik saya berkhidmat sebagai guru, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran kembali di peringkat ijazah,” kongsi Taufiq.
Mengimbas kembali strateginya, Taufiq menekankan pentingnya penetapan matlamat awal. Beliau menetapkan sasaran untuk mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.
“Strategi saya mudah iaitu menetapkan matlamat dari awal contohnya dari peringkat semester pertama untuk mencapai anugerah Dekan. Jika ada subjek yang kita lemah, lebihkan fokus terhadap subjek tersebut berbanding subjek-subjek yang lain,” ujar Taufiq yang turut berkhidmat sebagai Presiden Sarjana Muda Pendidikan USIM bagi sesi 2023-2024.
Kisah Taufiq menjadi lebih inspiratif apabila beliau berjaya mengimbangi tugas akademik yang mencabar dengan minatnya dalam bidang pertanian dan penternakan. Bermula dengan penternakan itik dan angsa secara kecil-kecilan pada 2015, ladangnya kini berkembang epada tanaman durian belanda, jambu batu, dan pisang.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan dalam hidup memerlukan keseimbangan yang holistik.
“Saya menekankan untuk graduan, kalau boleh kita pelbagaikan dan asah soft skill bukan sekadar akademik semata untuk membina jati diri kita supaya menjadi mahasiswa yang seimbang dari pelbagai aspek. Kerana belajar itu ‘اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ’ Carilah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad,” pesannya.
Ahmad Taufiq yang kini sedang menanti panggilan temuduga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berharap dapat merealisasikan cita-cita menjadi guru sepenuh masa dan seterusnya mencari pengganti untuk menguruskan ladang.
Oleh: Muhammad Iqbal Sham Shor dan Ahmad Ameer Izzudin Ahmad Ishak
