NILAI 5 Mac – Sebelum ini golongan penghafaz Quran dikenali di kalangan mereka yang berlatar belakang Pendidikan Islam. Tetapi kini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mencetus revolusi dengan melahirkan para penghafaz Quran dari kalangan doktor.

Ini terbukti di Majlis Penyampaian Skim Insentif Huffaz Quran (i-Huffaz) kali kedua anjuran Institut Kefahaman Quran dan Sunnah (IQ) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), apabila 14 daripada 17 penerima Skim i-Huffaz terdiri daripada pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM.

Penyampaian Skim i-Huffaz kali kedua merupakan kesinambungan daripada penganjuran Skim i-Huffaz yang telah diadakan pada tahun 2010. Skim ini merupakan hadiah wang tunai mengikut tiga kategori iaitu juzuk ‘Amma sebanyak RM 500, 15 juzuk RM 2000 dan 30 juzuk RM 3000.

Mohamad Najmi Ahmad, pelajar tahun lima FPSK dan Nurul Huda Abd Malik, pelajar tahun tiga FPg merupakan antara 17 pelajar USIM yang menerima Skim ini.
Masing-masing menerima RM 3000 dan RM 500 beserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Menurut Pengarah IQ, Profesor Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif penganjuran kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan mahasiswa/i dengan penyertaan lebih daripada 150 orang.

“Memandangkan penyertaan yang begitu menggalakkan, kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis saringan bagi mengenal pasti calon-calon yang terbaik dan layak untuk ke majlis perujian i-Huffaz”, kata beliau lagi.

Sementara itu Mohamad Najmi Ahmad berkata, beliau mula menghafaz al-Quran sejak di bangku sekolah lagi dan pengajian beliau di FPSK banyak membantu beliau dalam menghafaz al-Quran. Ini kerana kursus perubatan di USIM mewajibkan setiap pelajarnya menghafaz beberapa juzuk al-Quran.

Selain itu, seramai 10 orang pelajar USIM menerima RM 500, seorang menerima RM 2000 dan enam orang pelajar menerima RM 3000 beserta sijil penghargaan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah