NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai universiti peneraju dalam bidang perundangan angkasa negara apabila Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Dr. Che Zuhaida Saari, tampil sebagai salah seorang tokoh perintis bidang ini di Malaysia. Beliau kini menerajui penglibatan USIM dalam Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA) 2025, sebuah inisiatif strategik hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan USIM.

PMPA 2025 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Disember 2025 di USIM merupakan platform penting yang menghimpunkan para pelajar undang-undang untuk mengasah kemahiran berhujah melalui simulasi prosiding mahkamah mut berasaskan kes sebenar dan hipotetikal berkaitan undang-undang angkasa.

Pertandingan ini tidak sekadar menjadi medan latihan praktikal, malah turut berfungsi sebagai wadah untuk melahirkan generasi peguam angkasa yang bersedia menghadapi cabaran perundangan teknologi dan penerokaan angkasa lepas pada masa hadapan.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Dr. Che Zuhaida memulakan kerjaya sebagai peguam sebelum menceburi bidang akademik. Minat beliau terhadap undang-undang angkasa mula berputik ketika melanjutkan pengajian Sarjana Undang-Undang (LL.M) di Universiti Malaya, di mana beliau merupakan antara beberapa pelajar terawal mengambil subjek “Air and Space Law” yang diajar oleh Prof. Datin Dr. Mary George. Kesungguhan beliau untuk mendalami bidang yang ketika itu masih baharu di Malaysia membawanya ke peringkat pengajian doktor falsafah (Ph.D) di International Institute of Air and Space Law (IIASL), Leiden University, Belanda, dengan fokus penyelidikan terhadap penggubalan undang-undang angkasa kebangsaan Malaysia.

Hasil penyelidikan beliau menjadi rujukan penting dalam pembangunan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834]. Kini, beliau turut berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Triti Angkasa Antarabangsa MOSTI dan terlibat secara langsung dalam proses semakan semula akta tersebut bagi memastikan peruntukan undang-undang negara sentiasa selari dengan perkembangan pesat aktiviti angkasa negara seperti pelancaran satelit, penerokaan komersial, dan pengurusan serpihan angkasa.

Bagi Dr. Che Zuhaida, pembangunan sektor ini bukan sahaja memerlukan pendekatan teknikal dan ekonomi, tetapi juga pematuhan kepada prinsip Syariah sebagai amanah negara di peringkat antarabangsa.

USIM di bawah kepakarannya turut menjadi institusi pendidikan tinggi pertama yang memperkenalkan subjek elektif undang-undang angkasa di peringkat Ijazah Sarjana Muda secara konsisten iaitu bermula sekitar 2016. Langkah ini telah melahirkan graduan yang berpotensi besar untuk menjadi pakar dalam bidang perundangan angkasa yang semakin signifikan di peringkat global. Menurut beliau, setiap aspek kehidupan moden hari ini mempunyai kaitan rapat dengan teknologi dan infrastruktur angkasa, sama ada dalam bidang navigasi, ramalan cuaca, telekomunikasi, perbankan, mahupun penyiaran.

“Aktiviti angkasa bukan sekadar peluang ekonomi, tetapi ia adalah amanah besar negara dalam memastikan penerokaan dilakukan secara beretika dan mematuhi undang-undang antarabangsa. Dari perspektif Syariah, ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan mengikut landasan agama. USIM memainkan peranan penting dalam mendidik generasi baharu mengenai tanggungjawab ini,” ujar beliau.

Harapan beliau adalah untuk melihat USIM menjadi pusat rujukan utama dalam pembentukan dasar dan undang-undang angkasa negara yang beretika, sejahtera, dan selari dengan Maqasid Syariah. PMPA 2025 dilihat sebagai langkah tepat dalam membina asas generasi peguam angkasa Malaysia, selain memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju teknologi dan perundangan angkasa di rantau Asia Tenggara.