NILAI, 19 MEI 2015 – Dr. Mohd Hazmi Mhd Rusli, pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih sebagai Pensyarah Pelawat Asing pertama di Department of International Studies, Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL), Dili Timor Leste.
Beliau yang berada di sana bermula 1 hingga 6 Mei lalu dijemput untuk berkongsi kepakaran beliau dalam undang-undang laut antarabangsa.
“Pihak UNTL meminta saya agar menyampaikan syarahan yang memfokuskan kepada hak pelayaran dan navigasi menerusi Selat bagi pelayaran antarabangsa, undang-undang pelayaran menerusi laut kepulauan (laut kepulauan Indonesia) dan untuk mengulas permasalahan sempadan maritim di antara Timor-Leste dengan Indonesia serta Timor-Leste dengan Australia”.
“Saya menyampaikan dua syarahan yang bertajuk Law of the Sea Convention 1982 (LOSC) and its Implication on South East Asia: With Special Reference to Timor Leste dan Maritime Boundary Issues in the Timor Sea and the Ombai-Wetar Straits”.
“Selain itu, saya juga diminta untuk menjalankan kuliah bagi kelas-kelas sarjana muda undang-undang di situ. Para pelajar di sini amat proaktif dan pelbagai soalan ditanyakan kepada saya terutama permasalahan batas maritim dan usahasama penerokaan minyak yang dilakukan oleh Timor-Leste dengan Australia” ujarnya.
Selain UNTL, Dr Hazmi juga diundang untuk memberikan syarahan di universiti swasta pertama Timor-Leste, iaitu Universidade Da Paz.
“Para pelajar Timor Leste mempunyai keinginan untuk belajar dan memajukan negara mereka yang baru merdeka itu. Mereka juga memuji Malaysia dan berkeinginan untuk mencontohi kejayaan Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan Negara”.
Sebagai sebuah Negara yang mempunyai penduduk sekitar 800,000 orang yang baru sahaja merdeka dan pernah mengalami perang kemerdekaan yang meragut banyak nyawa, Timor-Leste masih lagi menjalani proses penyembuhan dari sejarah silam yang kelam. Pembangunan Universiti dalam aspek kemudahan, akademik dan sumber daya manusia diberi penekanan penting oleh pemerintah.
Semasa di sana juga, beliau turut berkongsi bersama ahli akademik dan pelajar di sana mengenai sistem perundangan Malaysia (yang mana salah satu sumber perundangan di Malaysia ialah undang-undang Islam) dan berpeluang untuk melihat sendiri keindahan pantai-pantai di sekitar kota Dili yang sememangnya jarang dikunjungi oleh rakyat Malaysia.
Dr. Hazmi merupakan Profesor Pelawat, School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia; Penyelidik Bersekutu, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Penyelidik Bersekutu Pasca-kedoktoran Kehormat, Australian National Centre for Ocean Resources and Security, University of Wollongong, Australia.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan