NILAI — Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini mencipta momen istimewa apabila dua pasang kembar seiras diraikan serentak sebagai graduan. Kehadiran mereka bukan sahaja menarik perhatian para tetamu, malah memberikan sentuhan sentimental terhadap perjalanan akademik empat tahun yang ditempuh bersama. Bagi mereka, kejayaan ini bukan sekadar penutup sebuah fasa, tetapi bukti bahawa hubungan adik-beradik terutamanya sebagai kembar mampu menjadi kekuatan luar biasa dalam menempuh cabaran hidup.
Pasangan pertama ialah kembar seiras dari Selangor, Saidatul Afifa Abdul Ghaffar dan Saidatul Afiqa Abdul Ghaffar, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Sejak kecil, mereka tidak pernah terpisah dan melalui hampir setiap fasa kehidupan bersama.
Menurut mereka, proses permohonan UPU dilakukan secara berasingan mengikut minat masing-masing. Namun, takdir menemukan mereka kembali dalam program pengajian yang sama.
“Masa isi borang UPU, kami buat secara berasingan dan tak bincang langsung. Bila keputusan keluar, kami terkejut apabila dapat universiti dan kursus sama,” kongsi mereka sambil tersenyum.
Sepanjang empat tahun di USIM, mereka bukan sahaja menjadi rakan sekelas, tetapi juga rakan tugasan dan rakan serumah. Walaupun berbeza personality, Afifah yang ceria dan spontan serta Afiqa yang lebih tenang, perbezaan itu sentiasa menjadi pelengkap.
“Kembar memberi banyak kelebihan, terutama bila buat tugasan berkumpulan. Kami saling percaya dan sudah faham cara kerja masing-masing. Bila subjek susah, kami belajar sampai dua-dua faham.”, ujar Afifa.
Keberhasilan mereka di USIM kini diteruskan dengan langkah baharu apabila kedua-duanya melanjutkan pengajian ke Diploma Pascasiswazah Pendidikan Islam (DPPI) di USIM. Mereka mempunyai Impian untuk menjadi guru Pendidikan Islam, meneruskan legasi ibu bapa yang juga pendidik.
Sementara itu, pasangan kedua pula ialah kembar seiras dari Kota Bharu, Kelantan, Siti Hajar Sarah Khair dan Siti Hajar Sofiah Khair, 23, yang menamatkan pengajian dalam bidang berbeza.
Sarah menerima Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, manakala Sofiah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Berbeza dengan Afifa dan Afiqa, pasangan ini melalui pengalaman lebih berdikari kerana jadual dan lokasi penginapan yang tidak sama. Namun memasuki tahun akhir, mereka memilih untuk tinggal bersama untuk saling menyokong.
“Walaupun minat tak sama, kami saling menyokong terutama waktu stress buat assignment. Kadang Sarah tegur saya supaya lebih fokus, kadang saya pula jadi tempat dia bercerita,” ujar Sofiah.
Sarah yang tegas dan lasak meminati permainan video serta aktiviti sukarelawan, manakala Sofiah berpersonaliti lembut dan mempunyai minat mendalam terhadap fesyen serta bercita-cita membuka butik pengantin suatu hari nanti.
Walau berbeza minat dan watak, hubungan mereka tetap utuh dan saling melengkapi.
Menutup kisah kejayaan mereka, pasangan kembar ini menitipkan pesanan kepada para pelajar lain. “Jangan putus asa walaupun perjalanan kadang terasa sukar. Belajarlah dengan fokus dan konsisten, kejayaan datang kepada mereka yang tidak mudah menyerah.”
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar dan Siti Nur Insyiraah Binti Sh Hussin

