NILAI, 7 NOV 2015 – Majlis Konvokesyen USIM Ke-13 baru-baru ini telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pendidikan kepada Presiden Universiti Islam Malaysia iaitu Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor manakala Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman dianugerahkan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor adalah antara individu terawal yang memegang amanah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti sejak awal menubuh pada tahun 2000 hingga tahun 2012. Beliau merupakan pencetus dan penggerak penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang kemudian dinaiktaraf kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2007.

Di bawah kepimpinan beliau, USIM bergerak maju dari sebuah universiti yang tidak dikenali di awal penubuhannya menjadi sebuah universiti yang disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,  hinggalah terbentukknya lapan fakulti sehingga kini. Kepimpinan beliau yang luar biasa membangkitkan semangat pihak pengurusan,  kakitangan serta  pelajar-pelajar universiti dari semua fakulti termasuk  fakulti Pengajian Bahasa Utama untuk meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Berlainan dengan Tun Zaki Tun Azmi, selepas bersara sebagai Ketua Hakim Negara beliau tetap aktif dan terus diberi kepercayaan untuk menyumbang idea dalam pebagai organisasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau merupakan Canselor bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Mahsa turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain berperanan sebagai Pengerusi de facto kepada pengerusi-pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam Malaysia dan Hakim Dubai International Financial Centre yang mendengar kes-kes melibatkan isu kewangan antarabangsa yang berpusat di Dubai.

Kepakarannya dalam bidang kehakiman dan undang-undang dapat dilihat dari sumbangan beliau terhadap pembangunan kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang di USIM sejak tahun 2011 apabila beliau dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Syariah dan Undang-Undang.

Beliau sering berkongsi idea menyampaikan syarahan undang-undang kepada pelajar dan staf akademik fakulti seterusnya menggalakkan pelajar-pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang mengambil bahagian dalam pertandingan Mut bagi mengasah kemahiran berhujah yang diperlukan oleh pelajar undang-undang.

Pada majlis yang sama, gelaran Profesor Emeritus turut diberikan kepada Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan, mantan Dekan Fakulti Pergigian yang kini merupakan Pakar Kesihatan Awam Pergigian dan Profesor di Fakulti Pergigian, USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204