NILAI (25 NOVEMBER 2025) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan legasi keilmuan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan meraikan seramai 3,631 graduan pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23 yang berlangsung hari ini hingga 28 November 2025 di Dewan Tuanku Canselor.

Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, yang berkenan berangkat bagi mengisytiharkan pembukaan konvokesyen serta menyampaikan anugerah kecemerlangan universiti serta penganugerahan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.

Daripada 3,631 graduan pada tahun ini, seramai 103 graduan Doktor Falsafah (PhD), 101 graduan Sarjana, 2,923 graduan merupakan graduan Sarjana Muda, 212 graduan Diploma Lanjutan (DIJAP) dan 292 graduan Diploma Pascasiswazah (DPPI).

Pada majlis yang sama Tuanku Canselor turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emerita.

Penerima Anugerah Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi UCSI Healthcare Group. Manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dianugerahkan kepada Datuk Abdul Latiff S. Mirasa, Ketua Pegawai Eksekutif, Nasyrul Quran.

Turut menerima penganugerahan adalah seorang tokoh akademik USIM, iaitu Profesor Dr. Fauzias Mat Nor Fakulti Ekonomi dan Muamalat bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emerita.

Majlis yang berlangsung selama empat hari yang melibatkan tujuh sidang ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Anas Azmi, graduan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah, serta Ridhwan Ariffin, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Bagi Anugerah Canselor (Siswazah), penerimanya adalah Siti Nadhirah Zainurdin graduan Doktor Falsafah Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina manakala bagi kategori (Sarjana Muda) dianugerahkan kepada Aina Farahin Muhamad Fauzi graduan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dengan Kepujian dari Fakulti Pergigian.

Manakala bagi penerima Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, dianugerahkan kepada Dalili Sofiya Goh Danial Iskandar Goh, graduan Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan Fakulti Sains dan Teknologi dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor adalah Nurul Huda Abdullah, graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Akhir sekali, Anugerah al-Abrar dianugerahkan kepada Raja Hassrullah Raja Hussin graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Konvokesyen Ke-23 kali ini turut menyaksikan sejumlah 131 graduan sulung bagi tujuh program pengajian baharu, iaitu Doktor Falsafah Alam Bina, Sarjana Sains Alam Bina, Sarjana Sains Pergigian Gunaan, Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian), Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian) (Mod 3U1I), Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan dengan Kepujian serta Diploma Lepasan Ijazah – Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mengangkat tema “25 Tahun USIM: Melakar Kejayaan, Mencipta Perubahan”, konvokesyen kali ini bertepatan dengan sambutan Jubli Perak USIM dengan menzahirkan usaha berterusan universiti selama suku abad dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan insan. Tema tahun ini membawa makna mendalam terhadap perjalanan USIM selama 25 tahun daripada institusi baharu kepada sebuah universiti mapan yang berjaya mencorak perubahan dalam pendidikan tinggi negara.

USIM merakamkan penghargaan kepada seluruh ibu bapa, penjaga, staf akademik, pentadbiran, alumni serta semua pihak yang sentiasa mendukung misi universiti dalam melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada agama, negara dan ummah.