PUTRAJAYA, 6 NOV 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia meraikan para pelajar graduan cemerlang bersama Ibu bapa masing-masing berserta penerima Ijazah Kehormat pada satu Majlis Santapan yang diadakan di Pullman Hotel, Putrajaya malam kelmarin.

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM berkenan mencemar duli ke majlis tersebut bersama Pro Canselor USIM YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

“USIM turut melancarkan satu buku khas ‘USIM di Negeri Sembilan’ sebagai tanda menghargai hubungan erat yang terjalin antara keluarga diraja Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri sepanjang 15 tahun penubuhannya.dengan kerajaan negeri dan istana, kelestarian pendidikan, seni budaya dan sukan”, jelas Dr. Faizal Kasmani selaku ketua pengarang buku tersebut.

“Buku terbitan Pusat Komunikasi Strategik ini turut mendapat kerjasama dengan Pejabat Pelancongan Negeri Sembilan bagi berkongsi tempat pelancongan menarik, makanan dan adat tradisi di Negeri Sembilan. Ini juga sebagai salah satu bagi mempromosikan USIM yang merupakan satu-satunya university awam yang terletak di Negeri Sembilan”, tambah Dr. Faizal lagi.

Buku ini mengandungi 200 halaman muka surat dan sebagai permulaan akan diterbitkan sebanyak 80 buah naskah untuk diedarkan kepada pejabat kerajaan dan sekolah terpilih di Negeri Sembilan.

Sementara pada malam itu, seramai lima graduan cemerlang menerima hadiah yang disampaikan oleh DYMM Tuanku Canselor USIM. Mereka adalah Mohd Taqwudin Mohd Yazid dan Amarul Arief Mohd Shuhaimi penerima Anugerah Pelajaran Diraja. Manakala dua penerima Anugerah Canselor adalah Sa’adah Zainal dan Mohammad M Mohd Alghlailat, dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor adalah Noor Faradzela Mohamad.

Pada majlis itu juga, USIM turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Cyber Security Malaysia (CSM) dan Al-Farabi Kazakh National University (KAZNU).

Turut hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Hj Abd Shukor Hj Husin, Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan tetamu kehormat yang lain.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204