GONTOR, 13 DIS 2015 – Seminar Serantau Institut Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI) 2015 telah diadakan di Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia pada 12-13 Disember 2015. Program yang memasuki tahun ke-3 yang dianjurkan secara bersama antara empat buah universiti asean iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysia, UNIDA (Indonesia), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan Fatoni University, Thailand.

Rombongan dari USIM yang diketuai oleh Naib Canselor , Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan juga 14 orang pembentang  yang terdiri daripada tenaga pengajar USIM.

Seminar ini bertemakan “Integration of Contemporary and Islamic Knowledge in Islamic Universities” di mana pengucaptama dari USIM telah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad yang bertajuk ‘Pendekatan Sains Dalam Pendidikan Islam : Aspirasi Integrasi Ilmu Naqli-Aqli USIM”.

Antara perkara yang disentuh oleh beliau adalah tentang usaha USIM dalam mengintegrasikan ilmu naqli-aqli sebagai satu pendekatan dalam melahirkan ilmuwan yang berpengetahuan luas, berketerampilan dan seimbang dengan tuntutan duniawi dan ukhrawi.  Katanya lagi, kerjasama antara institusi pengajian tinggi Islam yang dimeterai selama ini sangat penting bagi memastikan satu penghasilan model integrasi yang baik.

Pada sebelah petang pula, satu mesyuarat tertutup telah diadakan antara Jawatankuasa Tertinggi keempat-empat Universiti sebagai rakan penganjur, di mana beberapa persetujuan telah dicapai iaitu SeIPTI ke-4 akan diadakan di University Fatoni, Thailand yang dijangka diadakan pada Disember 2016.

Disediakan oleh:

Alfaiz Md. Salleh

Penolong Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204