NILAI, 24 MAC 2016 – Para pendebat Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) kembali menunjukkan taring mereka dalam Kejohanan Debat Piala Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) edisi Ke-9 setelah dua edisi sebelumnya dikuasai oleh Pusat Tamhidi.

Berlangsung dari 10 hingga 13 Mac bertempat di FSU dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,  Kejohanan Debat Piala Naib Canselor ini adalah anjuran Kelab Debat dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Menjadi program utama berbentuk pengucapan awam yang dinantikan setiap tahun oleh warga universiti, ia disertai oleh wakil-wakil pendebat dari pelbagai fakulti di USIM yang bertanding dalam tiga kategori iaitu Bahasa Melayu (17 pasukan), Bahasa Inggeris (17 pasukan) dan Bahasa Arab (16 pasukan).

Para pendebat FSU menjuarai pertandingan debat dalam kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab manakala Fakulti Sains dan Teknologi (FST) mengekalkan kehebatan mereka menguasai kategori Bahasa Melayu.

Majlis kemuncak Kejohanan Debat Naib Canselor ini adalah Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu yang mempertemukan pendebat dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan selaku Kerajaan dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) selaku Pembangkang. Usul akhir diperdebatkan ialah usul “Dewan Ini Percaya Kuota 30% Bumiputera Sudah Tidak Relevan” bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 ternyata memukau  kira-kira 500 penonton yang hadir.

Pada pertandingan akhir ini, majlis dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Penasihat Kelab Debat, Encik Mohd Zaini Othman.

Naib Canselor dalam ucapan perasmiannya memuji usaha Kelab Debat yang berterusan pada saban tahun menganjurkan kejohanan mega ini sebagai wadah menonjolkan perdebatan berpaksikan nilai intelektual dan mengilap bakat baharu pelapis universiti.

“Pengucapan awam merupakan satu wadah untuk meningkatkan daya fikir intelektual dan tahap pemikiran kritis disamping membentuk keterampilan dan sahsiah yang tinggi sebagai persiapan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berhadapan dengan masyarakat,” ujar Naib Canselor.

“Pengucapan awam dapat membantu dalam penyampaian maklumat agar maklumat yang disampaikan difahami serta meyakinkan pendengar untuk menerima idea yang dilantunkan,” tambahnya.

Hadiah kepada pasukan johan, naib johan dan pendebat terbaik akhir masing-masing menerima wang tunai RM 1,000, RM 700 dan RM 500 beserta sijil penghargaan.

Secara keseluruhannya, 200 orang pendebat yang bertanding dalam kejohanan tahun ini telah menunjukkan kualti yang baik dari aspek kualiti penghujahan, teknikal dan persembahan. Persiapan awal pasukan diperingkat fakulti, pemilihan usul-usul yang mencakupi topik politik, sosial, ekonomi, sukan dan global serta kualiti penjurian telah meningkatkan prestij dan kematangan penganjuran kejohanan ini.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204