NILAI – Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah USIM, Muhammad Firdaus Mohd Faisal, 25, selamat bergraduasi bersama 123 graduan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang berlangsung pada sidang ketujuh Majlis Konvokesyen ke-23 USIM baru-baru ini. Beliau yang merupakan finalis Anugerah Tokoh Siswa Negara (Kesukarelawanan) turut muncul sebagai mahasiswa berpengaruh melalui gabungan kecemerlangan dalam bidang dakwah, kepimpinan, serta khidmat komuniti.
Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Firdaus tidak bermula dengan latar belakang pendidikan tahfiz. Minatnya terhadap hafazan muncul ketika zaman sekolah menengah, bermula dengan mempelajari teknik menghafaz daripada para ustaz sebelum memulakan hafazan melalui surah lazim dan surah pilihan. Minat mendalam itu akhirnya mendorong beliau mengikuti pengajian di Diploma Tahfiz Itqan Negeri Sembilan, dan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun.
Sebagai hafiz 30 juzuk, Firdaus aktif memimpin komuniti setempat. Beliau sering diberi kepercayaan menjadi imam solat Tarawih di kawasan perumahan serta memimpin bacaan dalam majlis berbuka puasa bersama pensyarah. Sehingga kini, beliau konsisten melakukan murajaah bagi memelihara hafazan, membuktikan disiplin itqan bukan sekadar dicapai, tetapi dipertahankan.
Selain menonjol dalam kepimpinan mahasiswa dan tokoh agama, Firdaus turut menyimpan aspirasi untuk menjadi ahli korporat. Beliau yakin ilmu dakwah dan pengurusan boleh dimanfaatkan dalam sektor korporat melalui urus tadbir strategik yang memberi impak lebih luas kepada masyarakat.
Kini, Firdaus berkhidmat di Yayasan Negeri Sembilan sebagai Penyelaras Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan. Beliau bertanggungjawab menyelaras program mahasiswa termasuk kesukarelawanan, kepimpinan, serta jaringan antara negeri. Peranan ini disandang selepas tiga bulan menjalani latihan industri di organisasi sama, dan menunjukkan keserasian awal beliau dalam dunia pengurusan program dan pemerkasaan belia.
Perjalanan Firdaus bukan sekadar cerita tentang anugerah, tetapi tentang pembinaan disiplin luar biasa, visi masa depan, dan karakter pemimpin berjiwa khidmat. Sokongan ibu bapa, mentor, pensyarah dan rakan-rakan menjadi antara tunjang yang membentuk ketokohan beliau dalam aspek ilmu, adab, kepimpinan dan operasi pengurusan.
“Pasanglah impian setinggi langit, kerana jika engkau jatuh, engkau akan jatuh dalam kalangan Bintang. Tujuan hidup bukan hanya untuk diri sendiri,
tetapi untuk memberi kembali kepada masyarakat dengan ikhlas dan istiqamah”, ujar Firdaus.
“Terima kasih buat ibu bapa saya, para pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, khususnya almarhum Prof. Dr. Rumaizuddin Ghazali yang sangat saya hormati. Tidak dilupakan PMFKP dan PERMANIS. Perjalanan ini bukan mudah, penuh dugaan, tetapi yang menguatkan saya adalah doa, kepercayaan, dan ukhuwah yang tidak pernah padam.”, tambah Firdaus.
Oleh: Siti Nurafiqah Azwan, Wan Najian Putri Wan Mohd Lotpi