NILAI – Dalam suasana negara meraikan musim graduasi, isu kebimbangan tentang masa depan kerjaya graduan kembali menjadi perhatian masyarakat. Namun, senario ini jauh berbeza bagi graduan sulung Program Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), apabila majoriti daripada mereka telah bekerja sebelum hari konvokesyen.
Seramai 46 graduan sulung program ini menamatkan pengajian tahun ini, dan kejayaan ini menjadi bukti kukuh bahawa pelancongan bukan lagi bidang sampingan, tetapi sebuah industri strategik dengan permintaan tenaga kerja yang stabil dan berkembang.
Program ini menekankan gabungan pembelajaran akademik dan pendedahan industri melalui dua mod utama: mod kerja kursus dan mod 3U1I, di mana pelajar menjalani setahun penuh latihan industri. Pendedahan ini merangkumi operasi pelancongan, pengurusan destinasi, perhotelan, pemasaran digital dan penganjuran acara.
Menurut penyelaras program, pengalaman industri selama setahun ini bukan sahaja membina kemahiran teknikal, malah membentuk sahsiah, disiplin kerja, komunikasi dan kematangan profesional dalam kalangan pelajar. “Mereka bukan hanya belajar teori, tetapi hidup dalam realiti sebenar industri. Inilah kelebihan yang menjadikan graduan kami ‘work-ready’ sejak hari pertama,” jelasnya.
Kejayaan graduan sulung ini turut didorong oleh rangkaian kerjasama strategik industri melibatkan agensi pelancongan, hotel, serta institusi penting seperti Tabung Haji, yang membuka peluang latihan dan kerjaya dalam pengurusan jemaah, pelancongan Islamik dan hospitaliti.
Turut menyumbang kepada kejayaan ini ialah sokongan rakan industri seperti Naurah Tour & Services Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengendali pelancongan Muslim-friendly yang aktif bekerjasama dengan USIM dalam penyediaan latihan industri dan program pembangunan pelajar. Sokongan seperti ini membuktikan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan pelancongan USIM.
“Industri pelancongan Malaysia semakin berkembang, dan kami memerlukan tenaga kerja berkemahiran, beretika serta bersedia bekerja. Graduan USIM memenuhi keperluan tersebut,” menurut wakil industri yang terlibat dalam program 3U1I.
Dengan kejayaan ini, program Pengurusan dengan Pelancongan USIM jelas berdiri sebagai salah satu laluan kerjaya yang mampu menghapuskan mitos ‘tiada kerja selepas bergraduasi’. Graduan sulung ini menjadi contoh bahawa apabila universiti dan industri berganding bahu, masa depan pelajar bukan sahaja terjamin, malah cerah dan berkembang.
Oleh: Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan, Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid
