NILAI — Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli, 24, graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah mengharumkan nama negara apabila diberi kepercayaan untuk berkhidmat sebagai Imam Tarawih di Cheongju, Korea Selatan sepanjang Ramadan 2025 lepas. Tawaran tersebut pada mulanya mengundang rasa bimbang kerana perlu merantau seorang diri tanpa persiapan mencukupi, namun atas galakan rakan dan para guru, beliau akhirnya menerima peluang berharga itu malah segala perbelanjaan turut ditaja sepenuhnya.

Anak kelahiran Kuala Kubu Bharu yang dibesarkan di Bukit Beruntung ini merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Ibunya, Khilwati Mashud, 56, menjadi tunggak keluarga selepas pemergian ayahnya pada tahun 2012. Sejak usia 13 tahun, Nizamuddin mula menghafaz Al-Quran dan berjaya menamatkan hafazan pada usia 15 tahun.

Perjalanan pendidikannya merangkumi Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung Dua, seterusnya Maahad Tahfiz Wa Dirasah Islamiah Mawaddah di Teluk Intan. Beliau meneruskan SPM di Sekolah Menengah Agama Al-Taqwa sebelum melanjutkan STAM di Baitussaadah Education Group, Kota Damansara, di mana beliau memperkukuh penguasaan bahasa Arab dan mengulang hafalan. Beliau kemudian menyambung pengajian di USIM dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Tawaran ke Korea Selatan datang ketika beliau sedang mencari tempat Latihan Industri (LI) pada tahun akhir pengajian. Melalui cadangan penasihat di Baitussaadah Education Group, beliau dihantar oleh Pertubuhan Kebajikan Assolahiyyah Malaysia (PKAM) untuk berkhidmat di Cheongju selama sebulan. Berbekalkan karakter, bacaan, kepimpinan dan keyakinan, beliau kemudian diangkat sebagai duta bagi mengukuhkan hubungan dengan komuniti Muslim di Korea.

Nizamuddin berkongsi bahawa suasana di Korea amat berbeza, dengan masyarakat Muslim merupakan kumpulan minoriti. Cheongju dianggap kawasan luar bandar oleh penduduk tempatan, namun bagi beliau ia tetap sebuah bandar yang maju. Para jemaah terdiri daripada komuniti Muslim pelbagai negara seperti Korea, India dan Pakistan serta para pekerja dan pelajar.

Antara detik paling menyentuh hati baginya ialah malam khatam Al-Quran pada penghujung Ramadan. Seusai membaca juzuk terakhir dalam solat, ramai jemaah mengalirkan air mata sebahagiannya kerana tidak mampu membaca Al-Quran, namun tetap terinspirasi melihat seorang anak muda menghabiskan 30 juzuk dalam tarawih. Kejayaan itu turut meningkatkan kehadiran jemaah hingga memenuhi ruang masjid sepanjang Ramadan.

Namun cabaran turut hadir, termasuk sikap Islamofobia seperti insiden meletakkan khinzir di hadapan rumah orang Islam dan kritikan terhadap amalan berbuka puasa. Nizamuddin juga berdepan pengalaman baharu apabila terlibat dalam aktiviti rukyah melihat anak bulan bersama Syeikh Ayman Atturk, pakar falak yang menetap lama di Korea, bagi menentukan permulaan Ramadan dan Aidilfitri tanpa institusi rasmi seperti di Malaysia.

Selesai tugasan di Korea, baki Latihan Industri disambung di Baitussaadah sebagai guru tahfiz dan penjaga perpustakaan manuskrip ulama Melayu, yang memberinya pengalaman baharu dalam pemeliharaan naskhah berharga.

Kini Nizamuddin berkhidmat sebagai pensyarah muda di Innovative University College, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah di Cyberjaya.

Beliau menitipkan pesanan kepada pelajar tahfiz agar sentiasa yakin bahawa Al-Quran adalah masa depan yang memberi manfaat kepada masyarakat di mana sahaja mereka berada.

“Jangan rasa tiada masa depan hanya kerana mengambil jurusan tahfiz. Sambunglah belajar kerana ia meningkatkan nilai diri. Dan yang paling penting, lazimilah Al-Quran hingga akhir hayat.”

 

Oleh: Ahmad Ameer Izzudin Ahmad Ishak, Muhammad Imran Syauqi Salihudin