NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan holistik apabila Ridhwan bin Ariffin, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23. Pengiktirafan berprestij ini menonjolkan bukan sahaja kecemerlangan akademik beliau, tetapi juga kekuatan disiplin dan karakter sebagai seorang hafiz al-Quran.

Menamatkan hafazan 30 juzuk ketika di Tingkatan 4, Ridhwan menjelaskan bahawa teknik hafalan yang dipelajari sejak di sekolah menengah menjadi asas penting dalam memahami subjek kejuruteraan yang sarat dengan teori kompleks.

“Subjek teori kejuruteraan memerlukan pemahaman dan imaginasi yang tinggi. Saya menggunakan kaedah hafalan al-Quran dengan membaca, menulis semula dalam bentuk nota, kemudian menghafal setiap fakta secara bergilir-gilir,” katanya.

Mengimbas perjalanan empat tahun pengajian, Ridhwan mengakui bahawa beliau bermula tanpa asas yang kukuh kerana merupakan individu pertama dalam keluarga yang menceburi bidang kejuruteraan. Namun, ketekunannya membuahkan kejayaan apabila beliau dipilih sebagai Pembentang Terbaik serta menerima Anugerah Projek Terbaik Pilihan Industri pada 6th Multimedia University Engineering Conference (MECON) 2025 bersempena Digital Futures International Congress (DIFCON) 2025.

Anak keempat daripada enam beradik ini turut mengakui bahawa kos sara hidup yang semakin meningkat pernah menjadi antara cabaran terbesar semasa pengajian.

“Ada satu ketika saya hampir hilang arah kerana bimbang tidak mampu meneruskan pengajian. Namun, biasiswa JPA yang saya terima benar-benar meringankan beban serta dorongan daripada keluarga membolehkan saya kembali fokus,” ujarnya.

Kini berkhidmat sebagai Jurutera Elektrik di sebuah syarikat industri automasi di Johor Bahru, Ridhwan bersedia untuk mengaplikasikan gabungan ilmu wahyu dan ilmu teknologi dalam kerjaya profesionalnya. Beliau turut bercita-cita untuk menubuhkan syarikat latihan berasaskan konsep jurutera cilik bagi mencungkil bakat generasi muda dalam bidang kejuruteraan.

Kejayaan berganda Ridhwan sebagai hafiz Al-Quran dan graduan cemerlang kejuruteraan merupakan manifestasi falsafah USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli (wahyu) dan ilmu Aqli (akal). Beliau membuktikan bahawa penguasaan ilmu Al-Quran dapat berjalan seiring dengan kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi, bahkan saling melengkapi dalam membentuk watak profesional Muslim yang berdaya saing.

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin