Hanya staf lengkap vaksin dibenar masuk kampus mulai 15 Oktober ini

NILAI, 30 September 2021 – Kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terletak di Negeri Sembilan kini telah beralih kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat (4) berkuatkuasa mulai 4 Oktober 2021, selepas 20 hari pengumuman Kerajaan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 3 pada 2 September lalu. Manakala kampus satelit USIM di Pandan Indah berada di Fasa Tiga (3) PPN.

Susulan pengumuman ini, Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengoperasian pejabat hendaklah tidak melebihi 50% daripada bilangan staf Pusat Tanggungjawab bagi staf akademik dan staf pentadbiran termasuk tetap, sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian pada satu-satu masa.

Semua staf perlu memastikan telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua vaksin Pfizer, AstraZaneca atau Sinovac atau melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan vaksin Johnson & Johnson atau CanSino sebelum memasuki kawasan Kampus berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Jelas Dato Ridza lagi, berkuat kuasa 15 Oktober ini, hanya individu yang telah lengkap divaksinasi dengan vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan memasuki kawasan Kampus. Staf yang belum lengkap divaksinasi hendaklah mengambil tindakan seperti mengemukakan sebab belum lengkap divaksinasi secara bertulis kepada Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) untuk tujuan perekodan disamping mengikuti sesi penerangan vaksinasi yang dikendalikan oleh pegawai perubatan dan/atau mengikuti sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pegawai psikologi sebagaimana yang diselaraskan oleh SCIROSH.

Selain itu, staf yang terlibat perlu mengemukakan keputusan ujian calitan COVID-19 yang dikeluarkan oleh mana-mana fasiliti kesihatan yang berdaftar atas kos sendiri dan memastikan tempoh sah laku keputusan ujian calitan COVID-19 tersebut adalah tidak melebihi tempoh tiga (3) hari dari tarikh dan masa ujian dilakukan ketika memasuki kawasan Kampus.

“Staf hendaklah akur jika tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kampus sekiranya gagal melepasi pemeriksaan suhu badan atau gagal mempamerkan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera atau Kad Vaksinasi COVID-19 di pintu masuk utama Universiti sebelum memasuki kawasan Kampus atau atas apa-apa sebab lain yang munasabah”.

Warga USIM disarankan agar mematuhi Garis Panduan yang telah dihebahkan bersama-sama prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

2021-10-01T18:20:13+08:00
Go to Top