NILAI, 25 OGOS 2016 – Seramai 64 anggota Pegawai Kadet Palapes USIM telah berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Kali ke-35. Majlis disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertempat di Universiti Malaya 20 Ogos 2016 baru-baru ini.
Melakar pengalaman terindah buat Leftenan Muda Muhammad Ajwad Bin Alias, 25 tahun, apabila beliau dianugerahkan pedang kehormat setelah dipilih sebagai Kadet Terbaik USIM. Ajwad yang merupakan pelajar jurusan Fiqh dan Fatwa Kepujian Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melahirkan rasa gembira dan sebak kerana tidak menyangka beliau terpilih untuk terima anugerah tersebut.
“Ini merupakan hadiah istimewa dan sungguh bermakna buat ibunda tercinta Mes Selamah Binti Zainal yang menjadi tulang belakang dan pembakar semangat dalam kehidupan saya”.
“Walaupun belajar dalam jurusan agama tidak membataskan saya untuk meminati bidang ketenteraan dan aktiviti lasak kerana penglibatan dalam pasukan unit beruniform sangat bermanfaat dan banyak mendidik pelatih seperti saya dalam aspek kepimpinan, semangat juang tinggi dan memupuk sikap bekerjasama dan berfikiran krisis serta bijak menyelesaikan masalah selain memberi ketahanan fizikal dan mental serta memupuk disiplin yang tinggi dalam diri”, tambah Ajwad.
Ajwad yang berasal dari Kemaman Terengganu merupakan anak ketujuh dari sepuluh adik beradik ini turut berharap supaya lebih ramai lagi anak muda dapat menyertai pasukan beruniform ini kerana ia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, malah dapat mengenal dunia ketenteraan malah dapat menyemai sifat patriotik sayangkan negara seta bersedia berkorban untuk negara dalam kesiapsiagaan menghadapi musuh negara.
Beliau turut berterima kasih kepada Tuan Rozaimi Kamaruddin selaku Pegawai Penyelaras PALAPES USIM yang banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada beliau dan pasukan.
Dalam majlis itu, gabungan palapes USIM dan UKM mengekalkan tempat kedua dalam perbarisan kawad yang membezakan 11 mata dengan juara perbarisan iaitu dari UPNM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204