KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Islam (ICIL -2 2012) yang telah diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 27 September baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan para cendekiawan, pegawai, penyelidik dan pemain industri bagi membincangkan kepimpinan intelek Islam dalam aspek penyelidikan, inovasi dan kreativiti.

Menurut Pengarah Persidangan, Prof. Dr Zulkiple Abd Ghani, persidangan ini telah menjemput barisan tokoh pemimpin dan cendekiawan Islam di sekitar Asean untuk mengadakan pembentangan serta bersama-sama berkongsi ilmu dan penemuan terkini mereka khususnya dalam mengenengahkan kekuatan dan kelemahan intelek Islam dalam bidang kreativiti dan inovasi.

“Persidangan ini adalah sebagai platform terbaik untuk menghebahkan dan mempromosikan kejayaan Islam dalam bidang kepimpinan, sains dan teknologi, inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan kepada para peserta yang hadir,” katanya ketika ditemubual.

Menurut beliau lagi, persidangan pada kali ini turut membuka peluang kepada ahli akademik dari dalam dan luar negara untuk membentangkan hasil kajian mereka pada tiga sidang selari yang disediakan dan sebanyak 48 kertas kerja telah dibentangkan dalam pelbagai bidang yang meliputi aspek kepimpinan Islam.

Persidangan yang telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Khaled Nordin itu telah mengupas isu-isu berkaitan transformasi dan kuasa, sumbangan sarjana Islam dalam bidang keusahawanan dan komersil, cabaran dan prospek sarjana Islam di Asia, wanita dan kuasa serta kepimpinan Islam dan sebagainya.

Antara tokoh yang dijemput ialah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Zakri Bin Abdul Hamid, Penasihat Sains Kebangsaan Pejabat Perdana Menteri Malaysia; Prof. Dr. Hussin Mutalib, Profesor di Jabatan Sains Politik, National University of Singapore; Prof. Dato’ Dr. Zaleha Binti Kamaruddin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Prof. Dr. Asma Binti Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia; Prof. Dr. Macapado A. Muslim, Presiden Mindanao State University, Philippines; Prof. Dr. Winai Dahlan, Pengarah di Pusat Sains Halal, Chulalongkorn University, Thailand; Prof. Dr. Edy Suandi Hamid, Rektor Universitas Islam Indonesia dan Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Bin Hj. Othman, Pengarah di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persidangan yang dianjurkan secara kolaborasi bersama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Malaysia (AKEPT) untuk kali kedua itu telah dihadiri kira-kira 400 peserta dari dalam negara yang terdiri daripada agensi kerajaan, NGO, syarikat swasta, para pelajar dan turut menerima penyertaan peserta dari luar negara seperti Iran, Indonesia, Brunei,  Thailand, Palestin, Mesir, Sri Lanka, Filipina, Libya, Somalia, Nigeria dan India.

Oleh:
Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan