NILAI, 16 Disember 2021 – Bertemakan ’Towards Dignifying Islam in the Framework of Rule of Law and Supremacy of Constitution’, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif mengadakan program International Convention On The Basic Structure Of Constitution (ICOBAC ) 2021 yang diadakan secara dalam talian pada 15 dan 16 Disember 2021.

Konvensyen ini turut mendapat kerjasama strategik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP),Fakulti Syariah Dan Undang-Undang,Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA) , Brunei Darussalam dan Fakultas Hukum, Universitas Jendral Soedirman (UNSOED), Indonesia.

Selaras dengan usaha universiti menggalakkan dan meningkatkan aktiviti perkongsian ilmu, penyelidikan juga penerbitan, ke arah menghasilkan pakar-pakar akademik yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa, sebanyak lebih 20 pembentangan telah dijalankan pada konvensyen ini dan para peserta adalah dari kalangan para sarjana, pengamal undang-undang, perwakilan dari sektor awam dan swasta, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, mahasiswa di peringkat pra-siswazah dan siswazah.

Objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah sebagai platform bagi golongan akademik universiti juga para hakim membedah penghakiman kes Indira Gandhi dari aspek prinsip dan implikasinya, memupuk budaya berfikir, berminda kritis dan mengambil berat hal ehwal Islam selain isu-isu terkini berkaitan umat Islam, implikasi penghakiman dari segi  jurisprudens, perlembagaan dan undang-undang. Selain itu, bagi meningkatkan kerjasama hubungan akademik antara universiti di dalam negara juga luar negara juga dengan badan kehakiman Negara, serta membahas dan merumuskan resolusi buat penelitian pihak-pihak berkuasa termasuklah Badan Kehakiman Malaysia.

Pengucaptama telah disampaikan oleh tokoh-tokoh perundangan tersohor negara antaranya Tun Dato Seri Ahmad Fairuz bin bin Dato’ Sheikh Abdul Halim (Mantan Ketua Hakim Negara) , Y.A.A Dato’ Abas bin Nordin (Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah, Negeri Sembilan Darul Khusus), juga pakar perundangan dan perlembagaan iaitu Profesor Dr. Abdul Samat bin Musa, Felo Akademik FSU USIM dan Datuk Profesor Madya Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain dari  Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurut Prof. Madya Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dekan FSU USIM, penganjuran konvensyen ini adalah signifikan bukan sahaja menjadi platform buat para sarjana dan juga hakim-hakim di Mahkamah bertukar-tukar pandangan dalam bidang perundangan, segala input atau dapatan melalui topik-topik perbincangan di dalam persidangan ini dapat dimanfaatkan untuk menilai implikasi kes Indira Gandhi dan takrifan “Basic Structure” dalam sistem perundangan negara Malaysia. Sesungguhnya, apa yang lebih penting daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah prinsip kaedah pentafsiran perlembagaan. Kaedah pentafsiran perlembagaan yang diputuskan akan membuka dimensi baharu kepada unsur watan tanah air sebagai rujukan berwibawa.

Jelas beliau lagi, resolusi telah dicapai dan konvensyen ini secara umumnya merumuskan bahawa semua pengamal undang-undang, golongan profesional dan ahli akademik perlu berganding bahu untuk mengukuhkan elemen tradisional yang terkandung dalam perlembagaan tempatan masing-masing sesuai dengan kedudukannya sebagai struktur asas perlembagaan negara, juga negara peserta dalam ICOBAC 2021 juga diseru untuk membangunkan pemikiran watan negara masing-masing dalam sistem pendidikannya.

“Manakala secara khususnya adalah, Kerajaan Malaysia disyorkan dengan seberapa segera untuk menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Watan Negara bagi melindungi kedudukan yang dilindungi oleh Perkara 37, Perkara 38(4), 159(5) dan 161E Perlembagaan Persekutuan yang terjumlah sebagai struktur asas Perlembagaan Persekutuan; Semua pihak berkuasa berkenaan hendaklah mengukuhkan kefahaman sistem perlembagaan  dan kenegaraan Malaysia berlandaskan kerangka watan selaras dengan kaedah pentafsiran perlembagaan dan prinsip amalan kehakiman yang mengutamakan keadaan tempatan (local circumstances); Selain itu juga, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu dimartabatkan sebagai prinsip kedaulatan Malaysia dengan menghormati kedudukan Islam dalam bidangkuasa Negeri dan kebebasan asasi warganegara Malaysia sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan USIM perlu diberi peruntukan yang secukupnya untuk dibangunkan sebagai pusat penyelidikan dan perkembangan ilmu jurisprudens bagi maksud pengharmonian undang-undang negara dengan prinsip patuh syariah”, ujarnya lagi.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan