NILAI, 17 DIS – Memandang serius kepada sensitiviti isu halal haram sesuatu makan pada masa kini, Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) dengan kerjasama Institut Penyelidikan & Pengurusan Halal (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Halal Negeri Sembilan 2014 pada 17 Disember 2014 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

Bertemakan “Pematuhan & Insentif Dalam Perniagaan” beberapa objektif telah digariskan antaranya, bagi meningkatkan kefahaman, keperluan dan kepentingan standard, penguatkuasaan dan Pematuhan Pensijilan Halal, mewujudkan jaringan dan peluang pasaran kepada pengusaha dalam pembangunan perniagaan industri halal dan memberi pendedahan maklumat dan kesedaran tentang keberkatan bines halal melalui amalan berzakat dan berwakaf.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi) USIM, pada masa kini lebih dari separuh pemegang sijil halal terdiri daripada peniaga bukan bumiputera. Hal ini menunjukkan bahawa peniaga bukan Islam mula mengambil berat akan keperluan pengguna Islam terhadap produk makanan halal.

”Justeru, umat Islam seharusnya mempunyai sensitiviti untuk membangunkan perusahaan bagi memenuhi keperluan pengguna Islam tanah air”. Sekiranya sesuatu produk makanan itu dibangunkan sendiri oleh umat Islam, secara tidak langsung keyakinan pengguna terhadap status halal sesuatu produk makanan itu akan lebih dipercayai, jelas Dato’ Mustafa dalam ucapan perasmian beliau.

Program ini telah disertai oleh lebih 280 penyertaan terdiri daripada pelbagai industri, pengusaha makanan, pembekal dan pelajar. Sebanyak lima kertas kerja yang telah dibentangkan antaranya dari JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Syarikat QSR Brands Holdings Sdn Bhd, Pusat Zakat dan MARA.

Di akhir majlis, majlis turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan oleh QSR Brands kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan sebanyak RM 92,866.00.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204