KUALA LUMPUR – Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang (KGFSU)  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama pasukan pembangunan AI dari Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM telah mencuri tumpuan di acara sulung ASEAN AI Malaysia Summit 2025, anjuran Kementerian Digital dengan sokongan MyDIGITAL Corporation.

Program yang berlangsung pada 12 dan13 Ogos 2025 di MITEC Kuala Lumpur sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, USIM telah mempamerkan inovasi e-Konsultasi berasaskan kecerdasan buatan menerusi Islamic Family Law Assistant (ILA) Chatbot, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

ILA merupakan sebuah chatbot yang mengetengahkan isu-isu perundangan kekeluargaan Islam. Ia dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan SDEC USIM menggunakan platform Microsoft Azure, kandungan ILA dikawal rapi oleh kumpulan penyelidik dan pembangun kandungan dari Klinik Guaman FSU USIM bagi memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat perundangan keluarga Islam di Malaysia.

Menurut Ketua Bahagian Perkhidmatan Digital SDEC USIM Ts. Khadijah Chamili, lebih daripada sekadar chatbot, ILA diintegrasikan bersama platform e-Konsultasi Klinik Guaman FSU yang membolehkan orang awam bukan sahaja memahami literasi undang-undang secara digital dan interaktif, malah berpeluang mendapatkan bimbingan secara hibrid, sama ada dalam talian atau bersemuka, mengikut konteks masalah sebenar yang mereka hadapi.

“Gabungan ini menjadikan ILA dan e-Konsultasi sebagai satu ekosistem sokongan undang-undang keluarga Islam yang inklusif, mudah diakses, dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini”.

Ujarnya lagi, walaupun masih dalam fasa prototaip, ILA berjaya menarik perhatian ramai dan kini sedang melalui proses pengumpulan maklum balas pengguna untuk penambahbaikan fungsi dan pengalaman interaktif.

Kehadiran USIM di pentas AI serantau ini bukan sahaja memperkukuh peranan institusi dalam inovasi beretika, malah membuktikan potensi teknologi pintar dalam memperkasa akses kepada ilmu perundangan keluarga Islam bagi memacu aspirasi USIM AI Syariah.

USIM merupakan salah satu daripada 8 universiti terpilih untuk menyertai pameran utama. Program ini telah menghimpunkan lebih 10,000 peserta dan mempamerkan 85 produk serta use case AI dari pelbagai sektor.