NILAI – Buat julung kalinya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan “Kalam NC” sebagai pendekatan segar sesi ramah mesra bersama Naib Canselor. Program yang berlangsung malam tadi di Dewan Tuanku Canselor (DTC) ini disusun dalam bentuk talk show santai dan interaktif, memberi peluang kepada kira-kira 2,613 pelajar baharu mendekati pucuk pimpinan universiti dengan lebih mesra dan dekat di hati.

Kalam NC hadir dengan susun atur segmen menarik di mana pelajar berpeluang mengenali sisi peribadi beliau dari zaman persekolahan, pengalaman belajar di University of Cambridge, hinggalah hobi unik sebagai penjaga gol dan pendebat.

Pelajar bukan sahaja mendengar, malah turut dilibatkan secara langsung menerusi sesi soal jawab, permainan interaktif, kuiz, serta segmen temu bual spontan oleh co-host yang mendekati mereka di ruang audiens.

Sepanjang program, Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menyentuh tentang aspirasi USIM melahirkan Muslim profesional, potensi besar mahasiswa, dan keunikan suasana biah solehah yang menjadi identiti kampus.

Program ini juga menghidupkan tagline “USIM Cemerlang, USIM Disayang”, dengan penekanan bahawa universiti bukan sahaja tempat menuntut ilmu, tetapi medan membentuk sahsiah dan menabur bakti kepada masyarakat serta ummah.

Menutup bicara, Naib Canselor menampilkan pesanan penuh hikmah sebagai seorang bapa menasihati anak. Beliau berpesan bahawa bukan universiti yang menentukan siapa kita, tetapi bagaimana kita memanfaatkan peluang yang ada.

“Ramai masuk USIM dengan rasa biasa-biasa, tetapi keluar menjadi luar biasa,” ujar beliau penuh makna.

Kalam NC dianjurkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor dan StraComm Clique

Dengan pendekatan baharu ini, Kalam NC menjadi bukan sekadar sesi taaruf, tetapi wadah penghubung antara kepimpinan tertinggi universiti dengan pelajar baharu, mencipta pengalaman pertama yang penuh inspirasi, mesra dan berkesan.