NILAI, 29 MEI 2014 –Seminar Kaunseling Keluarga Dan Seksualiti (MASEC) USIM 2014 dengan tema “Keluarga Murni, Negara Harmoni” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) pada 28 dan 29 Mei 2014.

Pelbagai program menarik yang menampilkan kaunseling hebat dari pelbagai bidang antaranya bengkel kemahiran kaunseling perkahwinan, pengenalan dan symptom-simpton LGBT, perundangan dan prosedur kes di mahkamah dan banyak lagi. Forum akan disampaikan oleh Prof Madya Dr. Saedah bte A.Ghani, Prof Emeritus Dr. Mohd Ismail Bin Mohd Thambi dan Prof Madya Dr Ahmed Mahir Bin Mohamed Mokhtar Bakri,Haji Hushim bin haji salleh dan ramai lagi. Kumpulan sasaran untuk menyertai seminar ini adalah pegawai-pegawai psikologi, kaunselor, pelajar dan orang awam.

Kini, masalah sosial dan emosi dikalangan masyarakat khususnya remaja semakin meruncing. Walhal perkara ini dapat dibendung sekiranya ia bermula dari awal lagi serta mendapat didikan dan sokongan awal dari rakan-rakan dan keluarga terdekat.

MASEC anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM bermatlamat meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran kepada peserta tentang kepentingan pengetahuan dalam seksualiti untuk menjadi kaunselor professional dalam bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan. Selain itu, MASEC turut membincangkan dan mengenalpasti isu-isu terkini yang  berhubungkait dengan isu seksualiti ketika berhadapan dengan klien kelak.

Seminar telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri YBhg. Dr Haji Hanafi bin Harun. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) YBhg. Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan YBhg. Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm